
Pagi tadi kami menerima foto ini. Apa yang dijelaskan sebagai versi terbaru/akan datang Yamaha Y15ZR yang dikenali sebagai Yamaha Exciter 155VVA.
Seperti yang tertera pada namanya, ia dikatakan sebagai versi “facelift” Yamaha Y15ZR dengan beberapa pembaharuan kosmetik dan juga enjin dengan sistem VVA yang digunapakai pada NVX dan YZF-R15 yang dilancarkan semalam.
Kami cuba mendapatkan pengesahan daripada sumber yang rapat dengan Yamaha.
Sepertimana yang berlaku tidak lama dahulu bilamana foto Kawasaki suprmoped 175cc tersebar, ia tidak lebih daripada imaginasi pelukis dan pemain photoshop.
Begitu juga halnya dengan foto ini, ia di render agak baik sebenarnya sehingga nampak begitu asli.
Kami juga cuba menjejaki sumber asal foto ini. Carian segera mendapati ia berasal dari satu laman saluran youtube dari Vietnam yang dikenali sebagai Mich Motorcycle. Beberapa keratan footage video dan foto ini dikongsi dalam laman sosial twitter.
Video yang disiarkan pada Mac lalu dibina berdasarkan foto imaginasi pelukis yang diperolehi menerusi beberapa keping foto intipan yang diperolehi oleh laman web Motosaigon.vn seperti di bawah.
Seperti yang anda lihat dalam foto di atas, kelihatan seolah-olah “kepala” yang memegang lampu utama Y15ZR tersebut tirus dan memberi ilusi lampu utamanya sedikit “leper” dan sudah terbahagi dua. Tapi menurut pendapat kami, ia sebenarnya adalah ilusi, ia masih lampu yang sama kecuali, kesan daripada gambar kabur yang dibesarkan.
Foto render ini juga memperlihatkan perubahan besar pada bahagian “ekor” yang kini menampilkan ciri “R”. Ia lazim dilihat pada R1 dan R1 dan yang terbaru, pada R15.
Bahagian panel badan sisi juga kelihatan telah dilebarkan tetapi pada bahagian hujungnya tirus untuk disesuaikan dengan lampu sportbike Yamaha yang lebih besar.
METER DIGITAL DAN SISTEM KEYLESS
Jika dilihat pada foto ini, ia menunjukkan bentangan meter utama yang memaparkan imej digital sepenuhnya. Tanapa berselindung, ia diambil daripada model skuter sport Yamaha NVX 155.
Tak cukup dengan meter, foto ini juga menggambarkan Y15ZR akan menggunakan sistem tanpa kunci dengan tuas pemulas sama daripada Yamaha NVX.
ENJIN 155 VVA?
Sepertimana model Yamaha N-MAX, YZF-R15 dan NVX, enjin generasi baru kelas 150cc (atau 155cc) Yamaha sudah menggunakan kepala selinder dengan VVA (Variable Valve Actuations). Yamaha memilih untuk peningkatan kuasa menggunakan lobe dari aci sesondol menerusi agihan RPM tinggi dan RPM rendah.
Dari segi teknikalnya, pembangunanan kepala selinder VVA pada aci sesondol tunggal (SOHC) lebih ringkas berbanding menggunakan susunan aci sesondol berkembar (DOHC) yang lebih kompleks dan rumit (tanpa sistem variasi injap)\
IMAGINASI ATAU REALITI?
Meskipun ia sekadar imaginasi, foto render Exciter 155VVA ini memberi idea tentang harapan peminat Y15R untuk melihat model ini diperbaharui. Seperti yang sedia maklum, Y15ZR sudah di keluarkan sejak 2015. Ia sudah tiga tahun di pasaran tanpa sebarang pengubahsuai atau kemaskini yang besar – kecuali warna dan skema sahaja.
Persoalan yang lebih menarik ialah, mungkinkah akan ada peningkatan ketara pada model Y15ZR/Exciter akan datang?
Jika mengikut logik pengeluaran, jawapannya Ya.
Memang akan ada, tapi bukan dalam masa yang terdekat. Yamaha lazimnya akan menaiktaraf model “laris” mereka kerana tidak mahu ketinggalan dengan pesaing mereka.
Sebelum kehadiran Y15ZR, supercub Yamaha ialah LC135 yang dinaiktaraf secara serius sebanyak tiga kali. Pertama, menerusi model V1, klac auto, empat kelajuan, lampu kecil, ekor kecil dan tanpa brek cakera belakang.
Kemudian, ia dinaiktaraf kepada klac tangan, dan brek cakera belakang dan kemudian dengan transmisi lima kelajuan, brek cakera dengan pam berkembar depan serta tayar belakang (100/70) paling lebar dalam kelasnya. Ia dikenali sebagai LC135 Extreme Spirit (LC ES)
Kini, gelaran supermoped Yamaha dipegang oleh Y15ZR sementara LC135 dikekalkan sebagai cub kecil 4 kelajuan dan karburetor.
Secara teorinya juga, Yamaha berdepan dengan pesaing yang hampir maju serba serbi. Honda ada lampu LED hadapan, transmisi 6 kelajuan dan kepala selinder DOHC.
BACA: R15 SPEC INDIA VS MALAYSIA
Sementara SYM VF3i sudah mencapai enjin 185cc dan Benelli ada USD fork dan brek pam berkembar dengan harga lebih murah.
Meskipun masih mendahului senarai jualan, lambat laun Yamaha Y15ZR akan diperbaharui. Ideanya begitulah. Di bahagian enjin, ia mungkin menggunakan teknologi VVA dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.
Paling penting brek hadapan kena upgrade dulu, pakai pam berkembar dan cakera lebih besar.
Kalau dapat meter digital LED penuh dan sistem tanpa kunci, ia adalah satu bonus.
OK tak?
GALERI