Buletin

HYUNDAI STARGAZER X DIPERTONTONKAN DI MALAYSIA

Hyundai Motor Malaysia hari ini mengadakan sesi pratonton eksklusif bagi Hyundai STARGAZER X, model MPV crossover yang dijangka mengukuhkan lagi penawaran jenama itu dalam segmen kenderaan keluarga di pasaran tempatan.

Model yang dipamerkan pada acara tersebut merupakan unit pra-produksi spesifikasi Indonesia dan digunakan sebagai rujukan awal untuk memperlihatkan reka bentuk serta ciri-ciri utama STARGAZER X.

Bagaimanapun, beberapa kelengkapan yang terdapat pada model pameran itu tidak akan ditawarkan pada versi pasaran Malaysia.

Dari segi penampilan, STARGAZER X menampilkan imej lebih lasak dan sporty berbanding STARGAZER standard.

Ia hadir dengan lencana Hyundai berwarna hitam, gril hadapan gabungan kemasan perak dan hitam, bampar rekaan lebih agresif serta overfender hitam yang memberikan karakter SUV lebih menonjol.

Turut melengkapkan penampilan luaran ialah skirt sisi, rim aloi hitam berkilat bersaiz 17-inci, rel bumbung jenis bridge yang mampu menampung beban sehingga 100 kilogram serta brek cakera belakang.

Ciri-ciri utama Hyundai STARGAZER X

Luaran

  • Lencana Hyundai hitam
  • Gril radiator kemasan perak dan hitam
  • Bampar sporty
  • Overfender hitam
  • Skirt sisi
  • Rim aloi hitam berkilat
  • Rim 17-inci
  • Rel bumbung jenis bridge (kapasiti sehingga 100kg)
  • Brek cakera belakang

Dalaman

  • Tempat duduk balutan kulit sintetik
  • Susun atur captain seat
  • Konsol tengah terapung dengan dulang boleh tanggal
  • Perehat tapak tangan
  • Pengecas telefon pintar tanpa wayar
  • Kawalan transmisi Shift-by-Wire (SBW) dengan paddle shifter
  • Meja dan poket pada bahagian belakang tempat duduk
  • Konsol bumbung LED dan lampu kabin LED

Keselamatan

  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Rear Occupant Alert (ROA)
  • Enam beg udara
  • Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go
  • Hyundai SmartSense ADAS

Di ruang kabin, STARGAZER X memberi fokus kepada keselesaan penumpang menerusi penggunaan tempat duduk captain seat, konsol tengah terapung dengan ruang penyimpanan tambahan serta kemudahan pengecasan tanpa wayar.

Kehadiran paddle shifter dan sistem transmisi Shift-by-Wire turut menambah elemen moden pada MPV ini.

Aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan pakej Hyundai SmartSense yang merangkumi pelbagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), selain ciri seperti Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, enam beg udara, TPMS dan Rear Occupant Alert.

Hyundai Motor Malaysia turut memaklumkan bahawa beberapa ciri yang terdapat pada model spesifikasi Indonesia yang dipamerkan tidak akan ditawarkan pada versi tempatan. Antaranya ialah sistem kamera pandangan sekeliling (Surround View Monitor) bersama Blind-Spot Monitor, pencahayaan ambien, tempat duduk pemandu larasan kuasa, fungsi pengudaraan tempat duduk pemandu serta sistem audio sembilan pembesar suara.

Sebaliknya, versi Malaysia dijangka dilengkapi sistem audio enam pembesar suara sebagai spesifikasi standard.

Maklumat lanjut termasuk spesifikasi penuh, serta harga rasmi Hyundai STARGAZER X untuk pasaran Malaysia dijangka diumumkan pada tarikh pelancarannya kelak.

GALERI:

Google ads
Back to top button