Motosikal

CFMOTO 450MT ‘TAPAU’ RED BULL ROMANIACS 2026

Red Bull Romaniacs 2026 telah pun melabuhkan tirai di Sibiu, Romania baru-baru ini yang menyaksikan CFMoto 450MT menjuarai tiga kategori kejuaraan tersebut. 

Terkenal sebagai perlumbaan ‘off-road’ motosikal paling ekstrim di dunia selain Dakar Rally, CFMoto menggunakan peluang tersebut untuk mencipta kejutan selepas model 450MT merekodkan kemenangan dalam kelas Adventure Ultimate, Adventure Core dan Adventure Lite. 

Kategori Adventure Ultimate yang merupakan kelas perdana, menyaksikan pelumba Sepanyo, Mario Roman Serrano muncul juara dengan jentera 450MT. Kejayaan mendominasi setiap bahagian perlumbaan menyaksikan dia muncul juara keseluruhan. 

Untuk rekod, Serrano merupakan duta CFMoto dan turut terlibat secara langsung dalam pembangunan model MT. Tidak hairanlah, model seperti 450MT, 700MT, 800MT dan 1000MTX dengan cepat berjaya meraih perhatian peminat sukan off-road.

Sementara itu, kategori Adventure Core dan Adventure Lite turut dimenangi pelumba yang menunggang jentera 450MT. Keputusan perlumbaan bagi ketiga-tiga kelas ini membuktikan keupayaan jentera CFMoto di pentas antarabangsa. 

Atas kertas, 450MT dikuasakan enjin parallel-twin 449.5cc dengan 270-degree crank yang berupaya menghasilkan 42hp dan 42Nm. Berbeza dengan pesaing lain dalam kelas yang sama, 450MT dibangunkan dengan kejuruteraan yang memfokuskan prestasi off-road. 

Google ads
Back to top button