
SANGGUP BELI MOTOSIKAL, ALAT GANTI SELUDUP DEMI SERTAI RXZ MEMBERS
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengenal pasti rampasan motosikal seludup terutamanya Yamaha RXZ dijalankan secara konsisten setiap tahun berikutan motosikal tersebut mempunyai permintaan daripada peminat untuk menyertai RXZ Member.
Pengarahnya, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, pihaknya menyita sebanyak 45 buah motosikal terpakai yang diseludup dari Thailand dengan 25 buah daripadanya terdiri daripada Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta termasuk duit dan cukai.
Katanya, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa operasi yang dijalankan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor.
“Rampasan tertinggi melibatkan Yamaha RXZ iaitu sebanyak 25 buah manakala selebihnya merupakan motosikal jenis Kawasaki, Honda Click dan Yamaha TZR.
“Kita dapati rampasan motosikal seludup ini konsisten setiap tahun berkemungkinan ada permintaan daripada peminat Yamaha RXZ untuk menyertai RXZ Member,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Mohd. Hisham memberitahu, siasatan mendapati, kesemua motosikal itu disyaki diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dijual kepada pelanggan.
Menurutnya, sindiket penyeludupan dipercayai menyimpan motosikal tersebut di pelbagai lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal di ketiga-tiga negeri berkenaan.
“Motosikal seludup mendapat permintaan tinggi kerana ia dijual pada harga yang rendah sebelum dibaiki semula.
“Selepas proses pembaikan dijalankan, sesebuah motosikal tersebut boleh dijual pada harga berlipat kali ganda kepada pelanggan. Selain itu, alat ganti Yamaha RXZ seludup turut dijual kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, rampasan kesemua motosikal itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957. – KOSMO! ONLINE


