Buletin

DONGFENG NISSAN DEDAH NX7 BAHARU, SUV DENGAN TEKNOLOGI LIDAR

Dongfeng Nissan memperkenalkan imej rasmi SUV terbaharunya, NX7, sekali gus memberi bayangan hala tuju baharu jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik yang semakin berkembang di China.

Dari segi rekaan, NX7 menampilkan wajah moden dengan lampu hadapan jenis terpisah serta profil sisi yang lebih aerodinamik.

Model ini turut menggunakan pemegang pintu separa tersembunyi bagi meningkatkan kecekapan aliran udara.

Salah satu ciri yang paling menonjol ialah kehadiran sensor LiDAR di bahagian bumbung, menandakan SUV ini bakal dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju.

Di belakang, NX7 menggunakan lampu belakang penuh melintang dengan grafik bersegmen, spoiler kecil serta logo Nissan bercahaya, yang turut dipasang pada bahagian hadapan.

Walaupun spesifikasi lengkap masih belum diumumkan, NX7 dijangka berkongsi platform dengan Dongfeng Nissan NX8. Ia berkemungkinan ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik dengan pemanjang jarak (EREV).

Sebagai rujukan, NX8 yang dilancarkan di China pada April lalu dijual pada harga antara 159,900 hingga 209,900 yuan (sekitar RM94,000 hingga RM123,000).

Model itu dibina menggunakan platform 800V silikon karbida, dipadankan dengan bateri litium besi fosfat (LFP) CATL yang menyokong teknologi pengecasan pantas 5C.

NX8 mempunyai dimensi 4,870mm panjang, 1,920mm lebar dan 1,680mm tinggi, dengan jarak roda 2,917mm.

Selain pasaran domestik, NX7 juga dijangka memainkan peranan penting dalam strategi eksport Nissan.

Ini susulan penubuhan syarikat usaha sama antara Dongfeng Motor dan Nissan China Investment Co. (NCIC) bagi mengembangkan eksport kenderaan dari China.

Usaha sama itu mempunyai modal berdaftar sebanyak 1 bilion yuan, dengan NCIC memegang 60 peratus kepentingan dan Dongfeng Motor 40 peratus.

Nissan percaya kenderaan elektrik yang dihasilkan di China mampu bersaing di pasaran global menerusi harga yang lebih kompetitif. Syarikat itu turut merancang memperkenalkan lebih banyak model elektrik dan hibrid plug-in di China, termasuk trak pikap elektrik pertamanya.

Google ads
Back to top button