Artikel Pilihan

BMW iX3 NEUE KLASSE BAWA TEKNOLOGI BARU

Pelancaran BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro menjadikan ia model BMW pertama daripada keluarga Neue Klasse yang tiba di negara ini dengan memperkenalkan beberapa teknologi generasi baharu yang bakal menjadi asas kepada model-model BMW selepas ini.

Antara perubahan terbesar ialah penggunaan BMW eDrive Generasi Keenam atau Gen6. BMW iX3 merupakan model produksi pertama menggunakan teknologi ini, dibangunkan berasaskan seni bina elektrik 800 volt.

Baterinya menggunakan sel berbentuk silinder dalam konfigurasi cell-to-pack, membolehkan sel disusun terus ke dalam pek dengan penggunaan ruang yang lebih cekap. Pek bateri berkapasiti 108.7 kWh turut diintegrasikan terus ke dalam struktur badan sebagai sebahagian daripada lantai kenderaan, sekali gus membantu merendahkan pusat graviti.

Seni bina 800 volt ini juga membawa peningkatan besar kepada sistem pengecasan. BMW iX3 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW, membolehkan tenaga bersamaan jarak perjalanan sehingga 372 km ditambah dalam masa hanya 10 minit.

Dengan bateri 108.7 kWh, BMW mendakwa iX3 mampu bergerak sehingga 805 km berdasarkan kitaran WLTP dengan penggunaan tenaga serendah 15.1 hingga 17.9 kWh/100 km. Namun teknologi Neue Klasse yang mungkin lebih menarik daripada angka kuasa dan pengecasan ialah Heart of Joy.

Ia merupakan unit kawalan berprestasi tinggi yang bertanggungjawab mengawal kuasa pacuan serta dinamik pemanduan. Menurut BMW, sistem ini mampu memberikan respons sekitar 10 kali lebih pantas berbanding sistem kawalan konvensional, sekali gus mengurangkan kelewatan antara input pemandu dengan tindak balas kenderaan.

Heart of Joy turut mengubah cara sistem brek regeneratif berfungsi. Dalam penggunaan biasa, sehingga sekitar 98 peratus proses membrek dilakukan melalui sistem pemulihan tenaga, malah sistem regeneratif itu sendiri mampu memberhentikan kenderaan sepenuhnya.

Ini membolehkan peralihan antara pecutan, coasting dan nyahpecutan dilakukan dengan lebih lancar, selain mengurangkan penggunaan brek mekanikal serta bunyi ketika membrek. Selain itu BMW turut memperkenalkan sistem pengurusan pengecasan yang lebih pintar.

Apabila destinasi pengecas dimasukkan ke dalam sistem navigasi, kereta akan melakukan pra-pengkondisian bateri sepanjang perjalanan supaya bateri berada pada keadaan optimum dan pengecasan boleh dimulakan pada kadar maksimum sebaik tiba.

Malah, penutup port pengecas juga kini mempunyai tahap automasi tersendiri. Di stesen pengecas yang dikenal pasti melalui navigasi BMW, penutup tersebut boleh terbuka secara automatik apabila pemandu tiba. Sistem ini turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mempelajari lokasi pengecas yang pernah dikunjungi berdasarkan arah ketibaan kereta.

Apabila lokasi tersebut dikenal pasti semula, port pengecas boleh dibuka tanpa memerlukan tindakan daripada pemandu, dengan syarat BMW Digital Key Plus telah diaktifkan dan berada bersama pengguna.

Satu lagi perubahan besar Neue Klasse berlaku di dalam kabin menerusi BMW Panoramic iDrive. Sistem ini dibangunkan supaya maklumat penting dipaparkan pada kedudukan yang membolehkan pemandu mengekalkan pandangan ke arah jalan raya, bukannya terlalu bergantung kepada skrin tengah seperti kebanyakan kereta moden.

Komponen paling menonjol ialah BMW Panoramic Vision, paparan unjuran selebar 43.3 inci yang merentasi keseluruhan bahagian bawah cermin hadapan dari tiang A kiri hingga tiang A kanan.

Maklumat utama pemanduan diletakkan terus di hadapan pemandu, sementara sehingga enam widget seperti navigasi, cuaca dan media boleh disusun pada bahagian lain mengikut keutamaan pengguna. Paparan ini juga direka supaya kekal jelas walaupun pemandu memakai cermin mata berpolarisasi.

Ia kemudian digabungkan dengan BMW 3D Head-Up Display generasi baharu. Berbeza daripada HUD biasa, sistem ini mampu memaparkan navigasi dan maklumat bantuan pemanduan dalam visual tiga dimensi berwarna penuh. Laluan jalan dipaparkan dengan kedalaman ruang yang lebih realistik sementara perspektif visual akan diselaraskan secara automatik mengikut keadaan.

Bahagian tengah pula menggunakan skrin 17.9 inci dengan Free-Cut Design yang menjalankan BMW Operating System X. Sistem operasi baharu ini menggunakan konsep QuickSelect dan membolehkan widget daripada skrin utama dipindahkan terus ke BMW Panoramic Vision.

Dalam kata lain, skrin tengah, Panoramic Vision dan 3D Head-Up Display tidak lagi berfungsi sebagai tiga paparan berasingan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada satu ekosistem paparan yang saling berhubung.

BMW Intelligent Personal Assistant juga boleh menerima arahan menggunakan bahasa harian untuk navigasi, komunikasi, hiburan dan fungsi kenderaan, sistem baharu ini juga mempunyai fungsi proaktif yang boleh mempelajari tabiat pemandu.

Ia boleh mencadangkan fungsi yang mungkin belum pernah digunakan serta menyimpan rutin tertentu supaya boleh dilaksanakan secara automatik pada permulaan perjalanan. Pendekatan digital baharu itu turut sampai ke stereng menerusi teknologi Shy Tech.

Kawalan pada jejari stereng hanya akan memaparkan fungsi tertentu apabila diperlukan dengan memberikan maklum balas haptik supaya pemandu boleh mengendalikan fungsi media, komunikasi dan sistem bantuan pemanduan dengan kurang keperluan untuk mengalihkan pandangan daripada jalan.

Neue Klasse juga membawa pendekatan baharu kepada sistem bantuan pemanduan melalui konsep yang dinamakan Symbiotic Drive. Perisian berasaskan AI bekerja bersama input pemandu untuk mengawal pecutan, membrek dan stereng.

Dalam erti kata lain, bantuan elektronik tidak semestinya mengambil alih sepenuhnya daripada pemandu, sebaliknya bekerja bersama input yang diberikan oleh pemandu. Teknologi ini turut memperluaskan fungsi Heart of Joy kepada sistem bantuan pemanduan.

BMW turut memperkenalkan Parking Assistant Professional yang membolehkan kereta melakukan pergerakan parkir ketika pemandu berada di luar kenderaan menggunakan telefon pintar yang serasi. Sistem tersebut boleh digunakan ketika pemandu berada sehingga enam meter dari kereta, selain membolehkan kenderaan digerakkan ke hadapan atau belakang apabila pemandu berada berdekatan.

Sementara itu, BMW Digital Key Plus menggunakan teknologi Ultra-Wideband (UWB) bagi mengesan kehadiran pengguna tanpa perlu mengeluarkan kunci atau telefon daripada poket. Apabila pemandu menghampiri kereta, sistem boleh mengaktifkan pencahayaan sambutan, mengeluarkan pemegang pintu secara automatik dan menyediakan kabin berdasarkan tetapan peribadi pengguna.

BMW iX3 mungkin model pertama yang memperkenalkan teknologi Neue Klasse di Malaysia, tetapi perkara paling penting ialah teknologi ini memberi gambaran tentang bagaimana generasi BMW selepas ini akan dibangunkan. Dalam konteks tersebut, iX3 bukan sekadar sebuah model baharu. Ia merupakan titik permulaan kepada seni bina teknologi BMW untuk generasi seterusnya.

Google ads
Back to top button