Buletin

ZEEKR 7X BLACK NOVA DIPERKENALKAN, TERHAD 200 UNIT DI MALAYSIA, HARGA MULA RM237K

ZEEKR Intelligent Technology Malaysia memperkenalkan Zeekr 7X Black Nova, edisi khas terhad yang dibangunkan berasaskan varian Zeekr 7X AWD Performance.

Hanya 200 unit ditawarkan di seluruh negara, menjadikannya antara model paling eksklusif yang pernah diperkenalkan oleh jenama itu di pasaran tempatan.

Sejak diperkenalkan di Malaysia, Zeekr 7X mencatatkan sambutan memberangsangkan dengan jumlah penghantaran terkumpul sebanyak 3,235 unit dalam tempoh kurang setahun.

Pencapaian itu menjadikannya SUV elektrik premium paling laris di pasaran tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan jenama Zeekr dalam segmen EV premium.

Dari segi penampilan, Zeekr 7X Black Nova tampil dengan kemasan luaran serba hitam yang dipadankan bersama rim aloi hitam bersaiz 20-inci. Ruang kabin pula menampilkan kombinasi warna hitam dan kelabu dua tona yang diperkenalkan buat pertama kali untuk model Zeekr 7X di Malaysia, sekali gus menyerlahkan imej premium dan elegan.

Walaupun menerima sentuhan kosmetik khas, model ini masih mengekalkan prestasi tinggi serta teknologi canggih yang menjadi kelebihan utama Zeekr 7X AWD Performance.

Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 475kW (646PS) dan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Sistem elektrik berasaskan seni bina 800V turut membolehkan pengecasan pantas dilakukan, dengan kapasiti bateri boleh ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh sekitar 16 minit.

Dalam barisan model Zeekr 7X secara keseluruhan, SUV elektrik ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 615 kilometer mengikut piawaian WLTP.

Antara kelengkapan utama yang ditawarkan termasuk sistem lampu pintar Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain, teknologi bantuan pemanduan pintar, perlindungan keselamatan 720 darjah, suspensi Magic Carpet, sistem audio Zeekr Sound Pro, pintu automatik tanpa bingkai serta tempat duduk kulit Nappa lengkap dengan fungsi pengudaraan dan urutan.

Zeekr 7X Black Nova ditawarkan pada harga RM237,000 dan hanya tersedia dalam varian AWD Performance.

Setiap pembelian Zeekr 7X Black Nova turut disertakan jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 kilometer, jaminan bateri voltan tinggi dan komponen berkaitan selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, serta perkhidmatan sambungan internet percuma selama setahun dengan kuota data 6GB sebulan.

Dengan pengeluaran yang terhad kepada 200 unit sahaja, Zeekr 7X Black Nova dijangka menjadi pilihan penggemar SUV elektrik premium yang mahukan kombinasi prestasi tinggi, teknologi terkini dan penampilan lebih eksklusif.

Google ads
Back to top button