
DJI LANCAR MIC MINI 2S UNTUK PASARAN MALAYSIA – HARGA MULA RM419
DJI memperkenalkan mikrofon wayarles terbaharunya, DJI Mic Mini 2S, ke pasaran Malaysia dengan pelbagai peningkatan yang disasarkan kepada pencipta kandungan profesional mahupun amatur.
Peranti bersaiz kompak itu menjadi model pertama dalam siri Mic Mini yang menawarkan rakaman dalaman terbina dalam, sekali gus memberi lebih keyakinan kepada pengguna untuk merakam audio tanpa bimbang kehilangan fail penting.
DJI Mic Mini 2S mampu merakam audio dalam format 32-bit float dengan storan dalaman sehingga 28 jam.
Teknologi ini membolehkan mikrofon mengendalikan julat bunyi yang luas, daripada suara perlahan sehingga bunyi yang kuat secara mengejut, sekali gus mengurangkan risiko gangguan seperti clipping ketika proses rakaman.

Setiap pemancar turut dilengkapi kira-kira 14.5GB storan dalaman yang mencukupi untuk rakaman audio berpanjangan, sesuai bagi sesi temu bual, podcast, penstriman langsung dan penghasilan kandungan sepanjang hari.
Bagi memastikan hasil audio lebih bersih, DJI turut memperkenalkan sistem pembatalan hingar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dengan dua mod berbeza.
Mod Basic sesuai digunakan di dalam bangunan bagi mengurangkan bunyi kipas, penghawa dingin dan gema, manakala mod Strong direka untuk menapis bunyi bising di kawasan luar yang lebih mencabar.
Selain itu, ciri Clipping Control membantu mengawal lonjakan bunyi secara automatik, manakala Loudness Balance memastikan tahap audio kekal seimbang sepanjang rakaman.

Pengguna juga boleh memilih tiga profil bunyi iaitu Regular, Bright dan Rich mengikut kesesuaian kandungan yang dihasilkan.
DJI Mic Mini 2S turut direka untuk penghasilan kandungan melibatkan beberapa individu. Satu unit penerima boleh disambungkan kepada sehingga empat pemancar serentak, menjadikannya sesuai untuk rakaman podcast, perbincangan berkumpulan dan temu bual.
Sistem ini juga serasi dengan beberapa produk mikrofon DJI generasi terdahulu, sekali gus memudahkan pengguna menaik taraf kelengkapan sedia ada.
Dari segi reka bentuk, setiap pemancar hanya seberat kira-kira 12 gram serta boleh dipasang menggunakan klip atau magnet. Penutup hadapan magnetik yang boleh ditukar turut ditawarkan dalam pelbagai warna, termasuk edisi khas hasil kerjasama dengan ilustrator antarabangsa, Victo Ngai.

Bagi pengguna ekosistem DJI, Mic Mini 2S boleh disambungkan terus kepada beberapa kamera Osmo terpilih seperti Osmo Pocket 4, Osmo 360, Osmo Nano dan Osmo Action 6 menerusi teknologi OsmoAudio tanpa memerlukan penerima tambahan.
DJI Mic Mini 2S kini boleh didapati di Malaysia menerusi kedai rasmi DJI, platform e-dagang rasmi serta pengedar sah.
Set lengkap yang mengandungi dua pemancar, satu penerima dan bekas pengecas dijual pada harga RM699, manakala pakej asas satu pemancar dan satu penerima ditawarkan pada harga bermula RM419.
Pemancar berasingan pula dijual pada harga RM299, sementara bekas pengecas berharga RM159. Set penutup hadapan magnetik pelbagai warna ditawarkan pada harga RM59, manakala edisi khas Siri Time dijual pada harga RM129.
GALERI:









