Buletin

BMW IX3 50 XDRIVE M SPORT PRO BAHARU TIBA DI MALAYSIA – HARGA MULA RM399K

BMW Malaysia secara rasmi memperkenalkan BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu, model pertama berasaskan platform Neue Klasse yang memasuki pasaran tempatan.

Kehadiran model ini turut menandakan permulaan generasi baharu kenderaan elektrik BMW yang dibangunkan dengan teknologi terkini serta falsafah reka bentuk dan pengalaman pemanduan yang serba baharu.

Model Sports Activity Vehicle (SAV) elektrik ini menjadi model pengeluaran pertama BMW yang menggunakan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam bersama seni bina elektrik 800 volt.

Ia turut menampilkan bateri voltan tinggi baharu dengan teknologi sel silinder dalam konfigurasi cell-to-pack yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah menjimatkan ruang.

Bateri berkapasiti boleh guna 108.7 kWh itu diintegrasikan terus ke dalam struktur lantai kenderaan, sekali gus merendahkan pusat graviti dan meningkatkan kestabilan serta pengendalian ketika dipandu.

Kuasa disalurkan menerusi dua motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan dan belakang, menghasilkan 345kW (469hp) serta tork maksimum 645Nm.

Sistem pacuan semua roda BMW xDrive dipadankan dengan transmisi automatik satu kelajuan yang masih mengekalkan karakter pemanduan ala pacuan roda belakang yang sinonim dengan jenama BMW.

Satu lagi inovasi utama ialah sistem kawalan baharu dikenali sebagai Heart of Joy, yang menguruskan fungsi pecutan, membrek, stereng dan kestabilan kenderaan.

BMW mendakwa sistem ini bertindak balas sekitar 10 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional, sekali gus memberikan kawalan lebih tepat dan pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi.

Sistem pemulihan tenaga kini memainkan peranan lebih besar dalam proses membrek, dengan kira-kira 98 peratus nyahpecutan harian dikendalikan melalui regenerative braking. Selain meningkatkan kecekapan tenaga, ia turut menghasilkan pemanduan yang lebih lancar serta mengurangkan bunyi daripada sistem brek mekanikal.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu menawarkan jarak pemanduan sehingga 805 kilometer (WLTP), sekali gus meletakkannya antara model elektrik BMW dengan kemampuan perjalanan paling jauh setakat ini.

Teknologi 800 volt membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 400kW, yang mampu menambah jarak perjalanan sehingga 372 kilometer dalam hanya 10 minit pengecasan.

Sistem navigasi pintar pula akan menyediakan suhu optimum bateri sebelum tiba di stesen pengecas bagi memastikan kadar pengecasan maksimum dapat dicapai sebaik sahaja kabel disambungkan.

Model ini turut memperkenalkan pengalaman digital baharu menerusi BMW Panoramic iDrive yang menggabungkan paparan Panoramic Vision bersaiz 43.3-inci merentasi cermin hadapan, paparan tengah 17.9-inci serta paparan 3D Head-Up Display yang memaparkan maklumat pemanduan dalam bentuk tiga dimensi.

BMW Operating System X pula dipadankan dengan BMW Intelligent Personal Assistant generasi terkini yang mampu memahami arahan suara menggunakan bahasa harian, mempelajari tabiat pemandu dan mencadangkan fungsi mengikut corak penggunaan harian.

Dari segi rekaan, BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu menampilkan bahasa reka bentuk Neue Klasse yang lebih bersih dan moden.

 Bahagian hadapan dihiasi kidney grille menegak bersama pencahayaan BMW Iconic Glow, manakala pakej M Sport menyerlahkan lagi karakter sporty menerusi bampar khas, rim aloi 22-inci dwiwarna dan angkup brek M Sport berwarna merah.

Di dalam kabin, suasana premium diserlahkan melalui kemasan tekstil, pencahayaan ambien, tempat duduk M Sport dengan fungsi urutan tujuh mod, sistem audio Harman Kardon 430 watt, bumbung panoramik kaca Climate Comfort serta sistem penyaman udara automatik tiga zon.

Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti 520 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dalam konfigurasi 40:20:40. BMW turut memperkenalkan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 58 liter buat pertama kali pada model keluarannya.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk Driving Assistant Plus, Parking Assistant Professional, kamera 360 darjah, kawalan pelayaran adaptif, bantuan mengekalkan lorong, amaran pelanggaran sisi, bantuan parkir automatik serta fungsi parkir menggunakan telefon pintar.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, BMW Digital Premium, BMW Digital Key Plus menggunakan teknologi Ultra-Wideband (UWB), aplikasi My BMW serta fungsi Park Collision Recorder.

Model ini ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Alpine White, Black Sapphire, M Brooklyn Grey, Space Silver, Ocean Wave Blue dan Polarised Grey.

Untuk harga, model ini ditawarkan pada harga bermula RM399,800.

BMW Malaysia turut menyertakan pakej pemilikan premium merangkumi BMW Service & Repair Inclusive (BSRI), jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, perlindungan servis sehingga enam tahun bagi model elektrik, jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun serta bantuan kecemasan BMW Roadside Assistance yang beroperasi 24 jam.

GALERI:

Google ads
Back to top button