
NISSAN FAIRLADY Z DILANCAR DI INDONESIA!
Nissan menghangatkan pentas GIIAS 2026 dengan memperkenalkan Nissan Fairlady Z untuk pasaran Indonesia.
Kemunculan model itu membawa tema The Legend Has Arrived, sekali gus menandakan kembalinya antara model paling ikonik dalam sejarah Nissan ke rantau ASEAN.
Pelancaran tersebut turut mencerminkan komitmen jangka panjang Nissan terhadap pasaran Indonesia, yang disifatkan sebagai antara pasaran paling penting bagi jenama itu di ASEAN.
Menurut Presiden Nissan ASEAN dan Thailand, Masao Tsutsumi, pengenalan Fairlady Z bukan sekadar membawa masuk sebuah kereta sport legenda, malah membuktikan keyakinan Nissan terhadap potensi pasaran Indonesia.
Nissan bagaimanapun masih belum mengumumkan harga rasmi Fairlady Z untuk pasaran Indonesia, namun tempahan sudah dibuka sepanjang GIIAS 2026 dan harga dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Untuk makluman, Nissan pernah menawarkan 370Z secara rasmi di pasaran tempatan satu ketika dahulu.
Legasi Lebih 55 Tahun

Sejak diperkenalkan pada 1969, Nissan Fairlady Z menjadi simbol warisan prestasi Nissan dengan menawarkan gabungan prestasi tinggi, reka bentuk malar segar dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan pada harga yang lebih mampu dimiliki.
Model generasi terbaharu masih mengekalkan identiti klasik keluarga Z menerusi rekaan bonet panjang, bahagian belakang yang pendek serta profil ikonik, namun dipadankan dengan sentuhan aerodinamik moden.
Enjin 3.0L V6 Turbo Berkembar 400hp

Jentera ini dikuasakan enjin 3.0 liter V6 dwi-turbo yang menghasilkan 400hp dan 475Nm tork.
Pelanggan boleh memilih sama ada transmisi manual enam kelajuan untuk pengalaman pemanduan lebih sejati atau transmisi automatik sembilan kelajuan yang menawarkan pertukaran gear lebih pantas dan lancar.
Kuasa disalurkan ke roda belakang, lengkap dengan Mechanical Limited Slip Differential (LSD) serta talaan suspensi khas bagi memberikan pengendalian lebih tepat, stabil dan menyeronokkan.
Kabin Berinspirasikan GT-R

Di bahagian dalaman, Nissan mengekalkan konsep kokpit berorientasikan pemandu dengan gabungan elemen klasik dan teknologi moden.
Ia menampilkan Triple Pod Cluster ikonik, stereng yang diinspirasikan daripada Nissan GT-R, panel instrumen digital bersaiz 12.3 inci, skrin maklumat hibur 9 inci serta sistem audio premium BOSE.
Gabungan ciri tersebut mengukuhkan identiti Fairlady Z sebagai sebuah kereta sport sejati yang mengutamakan pengalaman pemanduan.
Dengan kemunculan rasmi di Indonesia, Fairlady Z bukan sahaja menghidupkan semula legasi model Z di rantau ini, malah menjadi lambang hala tuju Nissan yang terus menggabungkan warisan prestasi dengan teknologi moden untuk generasi baharu peminat automotif.
Kredit gambar: Nissan














