Buletin

HYUNDAI TUCSON 2025 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA, LANCAR JULAI INI

Hyundai Motor Malaysia (HMY), yang kini secara rasmi mengendalikan sendiri operasi jenama Hyundai di pasaran tempatan, telah memperkenalkan Hyundai Tucson 2025, salah satu daripada tiga model baharu yang dijadualkan memasuki pasaran Malaysia.

Tucson 2025 merupakan versi kemas kini bagi generasi keempat SUV ini, yang tampil dengan reka bentuk luaran lebih berani. Elemen Parametric Dynamics masih dikekalkan, tetapi kali ini ia ditambah dengan sentuhan garisan tajam dan agresif pada bahagian hadapan, serta lampu utama jenis Parametric Jewel.

Reka bentuk lampu nyalaan siang (DRL) turut dikemaskini, hanya menggunakan tiga modul LED yang lebih besar dan bulat berbanding empat pada model sebelumnya.

Bahagian bampar juga diolah semula dengan gaya lebih bersegi, manakala skid plate hadapan yang berwarna perak kini merentangi keseluruhan lebar kenderaan. Di belakang, bahagian bawah turut menerima rekaan baharu yang menjadikan SUV ini kelihatan lebih maskulin dan tegap.

Masuk ke ruang kabin, perubahan besar turut dilakukan. Ia hadir dengan susunan skrin dwi-panel mendatar, lengkap dengan corong penyaman udara yang disorok. Reka bentuk stereng juga baharu – ringkas dengan tiga jejari dan tanpa logo Hyundai.

Panel sesentuh menggantikan kebanyakan butang fizikal, manakala butang pemilih gear kini dipindahkan ke tuil pada stereng, sekaligus membuka lebih ruang storan di antara tempat duduk hadapan.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Tucson datang dengan dimensi berukuran 4,630mm panjang,  1,865mm lebar dan jarak roda sepanjang 2,755mm memberi ruang kabin lebih luas dan selesa.

Ruang but pula menawarkan 582 liter kapasiti asas, yang boleh dipertingkatkan kepada 1,903 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan.

Dari segi trenkuasa, terdapat tiga pilihan enjin ditawarkan:

  • Enjin 2.0 MPI berkuasa 156PS dan 192Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan;
  • Enjin 1.6 liter turbo (TGDI) berkuasa 180PS dan 265Nm bersama transmisi DCT 7-kelajuan;
  • Varian tertinggi menggunakan enjin 1.6T HEV (Hybrid) yang menjana 235PS dan 367Nm tork, dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Harga rasmi dan maklumat penuh varian akan diumumkan dalam pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung awal bulan Julai ini.

Google ads
Back to top button