Buletin

BYD SIME MOTORS RASMI PUSAT 3S BAHARU DI MIRI

BYD Sime Motors memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baharu di Miri, Sarawak, bagi meningkatkan akses pelanggan terhadap kenderaan elektrik (EV) serta perkhidmatan selepas jualan.

Kemudahan berkeluasan 12,228 kaki persegi itu merupakan pusat 3S terbesar BYD di Sarawak setakat ini, menggabungkan operasi jualan dan servis dalam satu lokasi bagi memudahkan urusan pelanggan.

Pusat berkenaan menempatkan bilik pameran seluas 5,838 kaki persegi yang mampu mempamerkan sehingga lima kenderaan, manakala ruang servis seluas 6,390 kaki persegi dilengkapi enam ruang kerja dengan kapasiti mengendalikan sehingga 35 kenderaan sehari.

Bagi meningkatkan keselesaan pelanggan, kemudahan itu turut menyediakan ruang istirahat, kaunter bar, bilik perbincangan, ruang khas penyerahan kenderaan serta kemudahan pengecasan EV.

Pusat 3S Miri dikendalikan Kah Progression Auto Sdn Bhd dengan sokongan 15 kakitangan bagi menguruskan operasi jualan dan selepas jualan.

Syarikat itu merupakan anak syarikat milik penuh Oriental Holdings Berhad, kumpulan yang mempunyai pengalaman lebih 60 tahun dalam industri automotif di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pembukaan pusat berkenaan mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk memperluas kehadirannya di Malaysia Timur, khususnya bagi mendekati pelanggan di luar bandar utama.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan pengedar tempatan turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai EV serta membawa teknologi kenderaan dan bateri BYD lebih dekat kepada masyarakat setempat.

Di Sarawak, BYD Sime Motors kini mempunyai tiga cawangan rasmi di Kuching, Sibu dan Miri. Kehadiran pusat baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta menyediakan hab khusus untuk pelanggan di bahagian utara negeri berkenaan.

Sebelum ini, Sime Motors membuka pusat 3S BYD pertamanya di Malaysia Timur di Kota Kinabalu, Sabah, pada Disember 2024 sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian jualan dan selepas jualan di rantau itu.

Bersempena pembukaan pusat baharu berkenaan, Kah Progression Auto turut menganjurkan jelajah interaktif di Aras Bawah, East Court, Sayap Lama, Bintang Megamall, Miri, dari 16 hingga 18 Oktober 2026, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Google ads
Back to top button