Artikel Pilihan

IKLAN KERETA YANG KELAKAR, OVERCLAIM, DATA SALAH & KENA MASUK MAHKAMAH

Iklan yang melampau “overclaim” biasa dilakukan oleh pengeluar, biasanya digunakan untuk menarik perhatian bakal pembeli. Walaupun iklan tersebut nampak kelakar, aksi yang dilakukan dalam iklan tersebut tidak dapat diulangi oleh pembeli kereta tersebut.

Dah nama pun iklan, mestilah proses pengambaran video dilakukan oleh pemandu profesional, disunting dengan teliti, dimasukkan dengan runut bunyi yang mendebarkan dan beberapa trick video dibuat bagi memastikan iklan tersebut boleh menjual kereta.

Kali ini kami memaparkan beberapa iklan oleh syarikat kereta yang boleh menyebabkan anda tersenyum tawar ataupun pahit. Antaranya ialah:

1. Toyota Vios 2015 – secara jujurnya iklan ini sangat menarik kerana memaparkan 4 buah Vios berlumba di kawasan jalan bandar Putrajaya. Seperti mana yang kita tahu, Vios ialah sedan dari Toyota yang terkenal dengan tahan lasak, jimat minyak dan tak banyak ragam

Konsep iklan yang memaparkan Vios memiliki pengendalian yang mantap dan boleh melakukan drift bagaikan Toyota Trueno 86 rasanya agak sukar dilakukan oleh pemandu biasa, memandangkan Vios ini sebenarnya pacuan depan. Tapi pemandu yang menjayakan aksi drift ini memang otai sebenarnya

Tapi realitinya Vios pada era ini kalah kepada Honda City yang datang dengan sistem ESC dan juga 6 beg keselamatan udara dari segi angka jualan.

2. Proton Savvy – bagi menggambarkan Proton Savvy dihasilkan dengan keluli yang kuat, iklan ini dibuat dengan imej janaan komputer (CGI) dengan menggambarkan Proton Savvy dicampakkan dari jauh oleh seekor raksasa. Ajaibnya kereta Savvy tersebut sikit pun tidak tercalar selepas dibaling oleh raksasa.

Secara jujurnya cesi Proton Savvy yang dihasilkan dengan bantuan teknikal Lotus memang sangat rigid dan tegar jika dibandingkan dengan Perodua Myvi. Savvy dihasilkan dari tahun 2006 dan ditamatkan pengeluaran pada 2011 selepas persaingan sengit dengan Myvi

Rasanya ini iklan paling menarik dengan idea kreatif dari Proton setakat ini

3. Honda City 2020 – merupakan iklan Honda paling provokatif setakat ini di Malaysia. Dalam iklan ini ia memaparkan Honda City RS Hibrid yang dikuasakan dengan 2 motor elektrik dan menghasilkan 253Nm tork boleh tapau saja semua kereta di jalan raya termasuk Camry, Vios, almari bergerak, Mazda CX-5 dan Bezza ketika mendaki bukit.

Sebenarnya, memang tork daripada motor elektrik akan sentiasa lebih berkuasa daripada tork yang dihasilkan oleh enjin. Tapi sebenarnya enjin pada Honda City bertindak sebagai pengecas untuk bateri sistem hibrid hanya menghasilkan 96 kuasa kuda dan 127Nm tork dari enjin Atkinson

Motor elektrik berkembar pula menghasilkan 107 kuasa kuda dan 253Nm tork. Walaupun pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 9.9 saat, tapi halaju maksima Honda City RS ialah 177km/j sahaja. Kekuatan Honda City RS ialah penggunaan petrol pada kadar 27.7km per liter. Rasanya fakta ini patut diketengahkan.

4. Hyundai Tiburon 2004 – untuk model Hyundai ini, data dalam iklan menunjukkan kereta ini menghasilkan lebih 10% kuasa kuda berbanding dengan kuasa enjin sebenar yang dihasilkan. Ini menyebabkan persatuan pengguna di Amerika menfailkan satu saman di mahkamah California bagi mewakili semua pengguna yang tertipu

Hyundai didapati bersalah dan diarahkan membayar sebanyak 85 juta USD kepada semua pelanggan. Pada tahun 2012, Hyundai Elantra pula didakwa di mahkamah California atas tuduhan memalsukan data berkenaan penggunaan petrol. Hyundai mengiklankan Elantra mendapat bacaan sekitar 17km per liter sedangkan nak dapat 12km per liter pun senak

5. Volkswagen Dieselgate- antara skandal iklan paling teruk berlaku di dunia. Dalam usaha mengurangkan pencemaran, kumpulan Volkswagen didapati bersalah dengan memasang satu perisian dan peralatan khas yang boleh mengesan kereta sedang diuji, mengurangkan kuasa enjin bagi memastikan ia melepasi peraturan asap

Apabila tidak diuji, enjin diesel akan kembali kepada talaan sebenar yang lebih berkuasa dan melepaskan banyak asap. Kes ini kantoi apabila pensyarah dan pelajar kejuruteraan mengkaji dan menganalisa data dengan peralatan khas ketika kereta Volkswagen dipandu.

Kira memang genius la apa yang Volkswagen buat sebab semua peranti dalam kereta ini boleh berhubung antara satu sama lain dan mengesan bila kereta diuji. Kes ini menyebabkan Volkswagen didakwa di 21 buah negara, kerugian 31.3 billion Euro dari denda, dan saman

6. Nissan Frontier – dalam satu iklan yang dihasilkan oleh Nissan, ia memaparkan pikap Frontier yang dihasilkan oleh Nissan meluru ke atas bukit pasir bagi menolak sebuah buggey yang gagal mendaki. Dalam iklan 30 saat tersebut Federal Trade Comission mendapati iklan tersebut adalah tidak benar.

Ini kerana kamera yang digunakan melakukan trick supaya bukit kelihatan lebih curam dari sebenar serta kedua-dua kenderaan sebenarnya ditarik dengan kabel. Perbicaraan mahkamah kes ini sangat panjang dan akhirnya Nissan terpaksa menarik keluar iklan ini dari media tapi tidak dikenakan denda

Google ads
Back to top button