
INGAT PERATURAN 20/4/10 KALAU NAK BELI KERETA – TARIKH APA PULAK NI?
Jangan nak memandai main teka-teka. Ini buka tarikh lahir atau tarikh kahwin atau tarikh tunang siapa-siapa. Tapi ini merujuk kepada panduan untuk mereka yang ingin membeli kereta. Ia diperkenal oleh pakar-pakar ekonomi supaya kelak korang tidak akan terbeban dengan bayaran balik pinjaman.

Kalau korang memang hartawan miliyanar peraturan ini memang boleh diketepikan tapi kalau korang sama macam kami semua, baik ikut je. Benda elok kan?
Ingat pembelian kereta bukan satu pelaburan yang kecil. Jangka hayat kereta sekitar 8 ke 10 tahun bukannya sekejap (sebelum berlaku kerosakan yang besar-besar) dan ia akan kekal bersama anda untuk satu jangka masa yang lama. jadi baik fikir betul-betul sebelum memilih untuk membeli kereta.

Peraturan 20/4/10 ni tak adalah susah sangat pun sebenarnya tapi memang kena korban sikit la perasan nak melaram dan menunjuk-nunjuk tu. Ingat, kita beli kereta untuk kegunaan sendiri bukan untuk memuaskan hati sahabat, saudara mara atau ibu bapa sekalipun.
20 merujuk kepada peratusan pendahuluan yang perlu dikeluarkan untuk membeli kereta idaman anda. Tempoh pinjaman pula hadkan kepada 4 tahun sahaja dan perbelanjaan keseluruhan selama sebulan untuk kereta anda tidak boleh lebih dari 10 peratus gaji kasar anda. Mudah bukan? Tulis memang senang nak laksanakan susah wei.
Kenapa mesti jumlah ini?
Pendahuluan 20 peratus
Dengan meletakkan pendahuluan 20 peratus anda ada dua kelebihan sebenarnya. Satu dengan membayar lebih untuk pendahuluan anda akan mengurangkan jumlah pinjaman sekali gus merendahkan lagi kadar faedah pinjaman. Jadi duit lebih tu boleh disimpan, dilaburkan atau pun bagi je kat kami.
Satu lagi kelebihan ialah kemungkinan untuk pinjaman anda diluluskan adalah lebih tinggi bila anda mampu membayar pendahuluan yang lebih dari jumlah minima diperlukan. Yelah kereta harga RM100K anda bayar pendahuluan RM20K, tak power ke tu?
Tempoh Pinjaman 4 Tahun
Tempoh yang pendek menjadikan anda tidak terlalu terikat dengan kereta yang dibeli untuk jangka masa yang terlalu lama. Jadi selepas tempoh 4 tahun anda bebas untuk menjualnya dan ataupun menukarnya kepada kereta lain yang berkenan di hati tanpa kerugian wang. Ingat ada ramai mereka di luar sana yang menjual kereta tapi hasil jualan kosong atau pun negative terus kerana tak cukup untuk menimbus pinjaman asal.

Satu lagi pinjaman dalam jumlah yang kecil akan mengurangkan kerugian akibat susut nilai kenderaan. 4 tahun tak ada la teruk sangat susut nilainya.
10 Peratus Gaji Bulanan Untuk Kereta
10 peratus itu termasuklah kos untuk bahan api, penyeleggaraan, bayaran ansuran bulanan, insuran, cukai jalan dan beberapa perkara lagi. Sebabnya adalah untuk memastikan anda masih mempunyai baki dalam akaun bank untuk perbelanjaan sehingga hujung bulan. Kalau ansuran bulanan dah setengah bulan gaji memang naya ooo.
Ingat kebanyakan kereta memang akan mengalami susut nilai tahun demi tahun. Sebaik mana pun anda menjaganya kos yang anda keluarkan akan hangus begitu sahaja (kecuali satu dua model la tapi tak banyak model macam tu sebenarnya). Jadi sebaiknya ikut sahaja saranan pakar ni.

Macam kami cakap tadi, peraturan ini tidak terpakai kalau korang memang betul-betul kaya macam Christiano Ronaldo atau Mas Elon. Tapi sebenarnya orang kaya ni lagi cermat membuat keputusan dalam hal yang melibatkan kewangan.
Fokus kepada kereta yang anda betul-betul perlukan dan bukannya mengikut selera orang lain. Kalau nak pakai kat bandar pilih kereta-kereta kompak dan begitu juga kalau perlukan kereta untuk perjalanan jauh. Anda yang memilih ruang bagasi yang besar sebab nak bawa sambal untuk jualan dan ada yang nak mudah pakir. Jadi pilihan memang sentiasa di tangan anda. Duit korang kan suka hati korang la. Jangan sampai baru tiga hari dapat gaji dan pokai.





