Artikel Pilihan

INI CIRI-CIRI YANG WAJIB ADA BAGI SEBUAH KENDERAAN MODEN TAHUN 2023

Jika anda bercadang untuk mencari sebuah kenderaan baru pada tahun depan, ia adalah masa yang sesuai kerana banyak pengeluar mula melancarkan pelbagai model kenderaan baru untuk pengguna. Dengan rekaan terkini dan pelbagai ciri menarik, anda ada banyak model untuk dipilih sesuai dengan bajet bayaran bulanan dan juga bayaran pendahuluan.

Bagi memastikan anda mendapat kereta sesuai dengan nilai wang yang anda belanjakan, kami senaraikan di sini ciri-ciri moden yang patut ada pada sebuah kereta baru. Antaranya ialah:

1. Lampu depan LED – ya sekurang-kurangnya kereta baru anda perlu dipasang dengan lampu depan LED samaada dengan perumah lampu dari jenis reflektor ataupun dari jenis projektor. Lampu LED berupaya menghasilkan pancaran cahaya yang lebih terang dan jauh berbanding dengan lampu halogen. Bila sudah biasa dengan lampu LED, anda tidak akan kembali lagi menggunakan lampu halogen

2. Ciri Follow Me Home – ciri ini membolehkan anda menyalakan lampu depan sehingga 30 saat bagi memastikan garaj, kawasan parkir ataupun ruang depan rumah anda terang setelah anda sampai pada waktu malam. Jadi bila anda sampai, anda boleh masuk dalam rumah dengan keadaan terang sebelum menyalakan lampu garaj

3. Puddle Lamp – dalam istilah bahasa melayu ia disebut juga sebagai lampu lopak air, dengan mentol LED dipasang pada cermin sisi, tombol pintu ataupun pada bahagian bawah pintu yang akan menyala secara automatik. Ia akan menerangi permukaan tanah atau jalan bagi memastikan pemandu dan penumpang tidak terpijak lopak air atau apa apa halangan pada permukaan jalan.

4. Lampu Depan adaptif – ciri ini biasa digandingkan dengan lampu LED dimana input sistem akan diterima menerusi kamera yang dipasang pada bahagian cermin depan. Bagi ciri lampu depan dengan ciri auto high beam, lampu ini akan menyalakan lampu tinggi secara automatik apabila ia mengesan tiada kenderaan dari arah depan atau tiada lampu jalan

Bagi lampu depan dengan ciri adaptif, ia biasa dipasang dengan beberapa mentol LED yang boleh menyala secara individu dan menghasilkan bayang-bayang kepada pemandu depan. Jadi lampu adaptif boleh menyala tinggi di sebelah kiri dan menyala rendah di sebelah kanan.

5. Android Auto/Apple Car Play – ini ciri moden yang paling disukai oleh penulis, guna sahaja kabel untuk buat sambungan dengan telefon terus ke unit multimedia. Ini membolehkan anda mengawal lagu yang ingin dimainkan, menjawab telefon, menggunakan terus sistem pandu arah pada unit multimedia dan juga mengecas peranti telefon anda

6. LED DRL – ciri ini sebenarnya sunat sahaja, tapi kalau ada lagi bagus kerana ia boleh memberitahu kedudukan kereta anda kepada pemandu lain pada waktu siang. Pada masa yang sama rekaan lampu DRL yang bergaya ini juga boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada rekaan luaran kereta.

7. Sistem keselamatan ADAS – dengan menggnakan teknologi sensing dan juga berasaskan kamera dan juga sensor radar berupaya menyediakan pelbagai ciri keselamatan terkini seperti amaran pra perlanggaran, brek kecemasan automatik, lane departure warning, lane departure prevention dan juga auto high beam/ adapative driving beam

8. Kamera 360 darjah – menawarkan ciri pandangan dari sudut depan, belakang serta kiri dan kanan sewakt anda mengundur dan juga melalui kawasan sempit. Ciri ini berupaya mengelakkan kemalangan pada anak-anak kecil sewaktu anda memarkir kereta atau keluar dari kawasan parkir di rumah.

9. Perakam video digital – disebabkan ramai pemandu yang sewel sekarang ini, adalah sangat bijak untuk anda melindungi diri sekiranya berlaku kemalangan. Sesetangah varian yang mahal akan menawarkan perakam video digital secara percuma dengan pembelian kereta, tapi jika tidak disediakan adalah lebih baik anda membeli dan memasangnya sendiri

10. Lampu kabin – bukan benda wajib, tapi kalau ada disediakan maka ia adalah bonus kepada anda. Penggunaan lampu kabin pada waktu malam mampu memberikan suasana yang “mahal” pada kereta anda selain memberikan pencahayaan yang cukup untuk penumpang

11. Pengecaj telefon – sekurang-kurangnya kereta baru anda mesti menyediakan 2 poin USB untuk memudahkan anda mengecaj telefon pintar anda sewaktu dalam perjalanan. Bergantung pada jenama dan varian, pilihan yang lebih baik ialah ciri pengecas telefon tanpa wayar.

12. Beg udara keselamatan – bagi pengguna yang sudah berkeluarga, paling minimum ialah pastikan kereta baru anda menyediakan sehingga 6 beg keselamatan udara bagi perlindungan yang maksimum. Kalau lebih banyak, ia adalah lebih bagus.

13. Sistem Amaran Titik Buta – nampak macam tidak penting, tapi ciri ini akan membantu anda mengelakkan kemalangan apabila terdapat kenderaan lain berada dalam titik buta anda samaada di kiri atau kanan kereta sewaktu memandu

Ciri ini juga akan digandingkan dengan ciri Rear Cross Traffic Alert yang akan memberi amaran kepada pemandu sewaktu mengundurkan kenderaan keluar daripada parkir. Secara tidak langsung ia akan mengelakkan pemandu daripada terlibat dengan kemalangan sewaktu mengundur.

Google ads
Back to top button