Artikel Pilihan

ANGGOTA MARIN AS LARIKAN CIVIC TYPE R DAN KEMALANGAN – BUAT MALU KOMPENI JE

Kehadiran tentera Amerika Syarikat di Jepun memang banyak menimbulkan masalah dan ia bertambah buruk bila terdapat beberapa laporan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh anggota tentera Amerika.

Terbaru seorang anggota marin yang berpangkalan di Iwakuni telah mencuri sebuah Honda Civic Type R baharu. Bukan setakat mencuri beliau turut merosakkannya selepas terlibat dalam kemalangan. Adoi, kami pun tak sempat pandu lagi Type R tu tau.

Menurut laporan dari TV Asahi, kereta tersebut milik seorang warga tempatan yang membelinya dengan harga 5.4 juta yen (RM175k lebih kurang) dan telah menghantarnya ke pusat servis untuk penyelenggaraan. Insiden seterusnya dirakam dalam CCTV yang menunjukkan anggota marin terbabit berjalan masuk dengan menyorokkan tangan ke dalam baju. Tak tahan sejuk ke apa tak tahu la.

Suspek kemudian dilihat memeriksa kereta tersebut sebelum duduk seketika di luar bangunan pusat servis. Beliau kemudian dilihat memecahkan pintu kaca dan masuk ke dalam bangunan untuk mengambil kunci. Semudah itu sahaja Civic Type R itu dilarikan.

Stesen TV Asahi melaporkan lagi yang kereta tersebut telah berlanggar dengan sebuah kereta lain berhampiran dengan pangkalan udara Iwakuni dan suspek terus melarikan diri dengan meninggalkan tempat kejadian. Siasatan polis berjaya mengesan identiti suspek tapi pihak berkuasa tidak berjaya menahannya kerana terikat dengan perjanjian kerjasama ketenteraan Jepun-AS. Payah kalau melibatkan jenayah yang dilakukan anggota tentera asing.

Tapi laporan seterusnya menyatakan yang suspek sudah pun ditahan. Jurucakap tentera menyatakan bahawa anggota mereka sepatutnya menghormati komuniti yang menjadi tempat tinggal mereka dan mereka memandang serius perkara tersebut.

Gambar yang diambil selepas kemalangan menunjukkan kerosakan yang agak terus pada Civic Type R malang itu. Selain kerosakan pada bahagian bumper dan fender, intercooler pun turut jahanam. Tu pun syukurlah tiada nyawa yang terkorban dalam kemalangan.

Google ads
Back to top button