Artikel Pilihan

INILAH KERETA-KERETA KONSEP KLASIK YANG ANEH DARI JEPUN

Jepun memang telah diakui sebagai pengeluar kereta-kereta yang hebat dan tahan lasak. Namun pada masa yang sama pengeluar dari Jepun juga tidak dapat lari dari mengeluarkan model-model yang kelakar dan pelik.

Kereta konsep ini walaupun tidak secanggih buatan Eropah, namun ideanya sangat hampir kepada pengeluaran. Tapi nasib baik juga tidak jadi model produksi penuh, kalau tidak nescaya pembelinya akan menanggung malu selama tujuh keturunan.

Di sini kami tunjukkan kepada anda lima kereta konsep yang pelik tapi benar.

TOYOTA PUBLICA SPORTS 1962

Toyota Publica telah dikeluarkan pada tahun 1961 sebuah kereta untuk kegunaan masyarakat umum diinspirasikan daripada kejayaan Volkswagen Beetle. Tahun berikutnya Toyota mula merancang pengeluaran model yang lebih sporty.

Hasilnya lahirlah Publica Sports dengan bahagian bumbung yang boleh dibuka dengan menggelongsorkannya ke belakang ala kanopi jet pejuang. Ia juga boleh dibuka sepenuhnya seperti kanopi trak pikap pada masa kini.

Menjelang tahun 1965 pengeluarannya, ia dikenali dengan nama Sports 800 dan rekaan bumbung ini dikenali dengan nama bumbung Targa.

Bayangkan kalau kereta ni jadi kenyataan. Membayangkan sahaja boleh buat Pak Amid berguling ketawa. Bagaimana rupanya Abang Japar nak masuk dalam kereta dengan kain pelikat? Pakai tangga?

TOYOTA EX-III

Ini bukan EVOIII tau, tapi EX-III keluaran Toyota. Menjelang penghujung tahun 60-an, banyak syarikat Eropah khususnya Itali membangunkan model-model mid-engined (enjin tengah) dengan casis ala-perlumbaan dan berbentuk seperti potongan kentang (wedges).

Ingat Pininfarina Modulo? Toyota juga mengambil langkah pantas untuk mengeluarkan model seumpamanya dan dinamakan EX-III. Ia diperkenalkan kepada umum pada Tokyo Motor Show 1969 dan merupakan model mid-engined pertama Toyota.

Sekali lagi para pereka Toyota telah menggunakan rekaan kanopi untuk model ini dan bukannya menggunakan pintu seperti kereta biasa. Ia juga lengkap dengan mekanisma yang menaikkan kedudukan tempat duduk untuk memudahkan penumpang masuk dan juga keluar.

Tengok dari depan kereta ni memang runsing dibuatnya. Bayangkan kau bawak kereta ni lalu di jalan Kuala Lipis – Gua Musang waktu tengah malam dan tayar pancit. Tak ada yang berani berhenti tolong. Mungkin orang ingat makhluk asing turun untuk menculik penduduk bumi.

NISSAN 126X

Sebelum memperkenalkan 126X, Nissan memang tidak pernah menghasilkan kereta konsep. (ya betul – kami pun baru tahu). Mereka lebih suka mempamerkan kereta-kereta yang bakal memasuki peringkat pengeluaran dan sebelum pengeluaran selain kereta-kereta lumba.

Namun begitu bila saingan terdekat mereka Toyota menjadi begitu popular bila mempamerkan  EX-III di Tokyo Motor Show, Nissan terpaksa mengubah cara permainan.

Kereta konsep Nissan ini juga berbentuk wedges dengan enjin di tengah dan menggunakan bumbung ala kanopi. 126X ini juga mempunyai sistem pencahayaan di bahagian luar dengan lampu pada bahagian bonet yang akan bertukar daripada warna hijau kepada warna merah sewaktu memecut ataupun diberhentikan dalam keadaan ekstrim. Ini dah kira macam Knight Rider.

Tapi kereta ni dibuat dalam keadaan tergesa-gesa (tengok pun dah tau). Kualiti binaannya macam level budak Giat MARA pun boleh buat. Kalau Abang Japar jadi bos Nissan masa ni dah tentu semua pekerja kena pecat dan termasuk memecat diri Abang Japar sendiri (malu nak mengaku produk Nissan)

MAZDA RX500

Mazda tidak mahu ketinggalan dan turut memperkenalkan model konsep mereka yang dinamakan RX500 dalam 1970. Ia merupakan peluang terbaik Mazda untuk menguji dan menunjukkan kemampuan enjin rotary Wankel mereka yang revolusionari.

Walaupun hanya mempunyai 500cc, enjin sekecil ini mampu menjana 250bhp kuasa maksima pada putaran enjin tertingi 15,000rpm. Jika anda berada di kerusi belakang dan mempunyai masalah pendengaran, satu set lampu yang berwarna hijau di bahagian belakang menyala bila pecutan penuh dilakukan.

Dengan kata lain, kena pakai earplug kalau kereta ni putar sampai rpm penuh. Apa mangkuk la buat kereta kemudian susahkan diri sendiri?

YAMAHA OX99-11

Banyak pengeluar melaungkan tentang penggunaan teknologi F1dalam produk mereka tetapi hanya Yamaha yang berjaya melakukannya pada tahun 1992. Ia merupakan sebuah model sport yang menggunakan teknologi seperti seperti tub daripada gentian karbon yang kemudiannya digabungkan dengan enjin 3.5-liter V12 sama seperti enjin kereta F1 pada masa tersebut.

Rekaan badannya pula menyamai kereta lumba Group C. Ia disasarkan untuk dijual kepada pembeli persendirian dengan nilai USD800,000 pada ketika itu tetapi akhirnya projek ini dihentikan pada tahun 1994 kerana pasarannya dikatakan terlalu kecil.

Dalam banyak kereta konsep, Yamaha OX99 ni berada sangat hampir dengan pengeluaran, cuma skala ekonomi pada masa itu memang tidak meyakinkan.

HONDA FUYA-JO

Ini contoh kereta konsep paling pelik dari Jepun, Honda Fuya-Jo yang bermaksud “Bandar yang tidak pernah tidur”.

Ia dihasilkan khusus untuk mereka yang gemar berparti dan tidak tidur di waktu malam (bukan parti Tupperware tapi clubbing okey). Ruang dalamannya mempunyai papan pemuka yang hampir menyerupai turntable DJ selain bahagian lantai yang rata dan tempat duduk tegak ala bar ataupun kelab malam.

Dengan kata lain, inilah kereta yang sesuai untuk Pak Amid pergi ke majlis malam muda-mudi.

BACA: SUPERCAR YAMAHA OX99-11

BACA: KERETA KONSEP TERBAIK SEPANJANG 2016

 

 

Google ads
Back to top button