
INILAH MINI ACEMAN ELECTRIC CROSSOVER TERBAHARU – MINI TAPI BESAR
MINI bakal perkenalkan model serba baharu mereka yang dinamakan Aceman. Menariknya varian crossover elektrik Aceman telah mula diperkenalkan di MIIT China. Bukan MIT kat AS tu tapi MIIT ini merujuk kepada Ministry of Industry and Information Technology. Model subkompak ini berada di tengah-tengah antara Cooper dan Countryman. Ia bagaimanapun hanya ditawarkan dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Aceman ni sebenarnya kelihatan lebih sporty dan kecil berbanding Countryman. Bentuk badannya juga lebih ke arah model subkompak dan bukannya SUV. Ia mengetengahkan rekaan kontemporari MINI dengan lampu yang berbentuk sedikit bersegi, gril octagonal dan fender yang menonjol. Elemen asal MINI bagaimanapun masih dikekalkan walaupun macam kami katakan, MINI moden sekarang adalah jauh lebih besar berbanding MINI asal.
Gambar-gambar Aceman menunjukkan perbezaan antara dua varian. Varian standard dan varian S. Semestinya varian S kelihatan lebih menonjol dengan lampu utama LED, sentuhan warna gangsa pada plet hentaman dan logo S pada penutup bonet belakang.
Pelbagai pilihan rekaan rim aloi turut ditawarkan untuk Aceman ini dari saiz 17 hingga ke 19 inci. Sudah tentu ia turut ditawarkan dengan aksesori pilihan John Cooper Works (JCW) untuk peminat yang mempunyai poket lebih tebal.

MINI mengesahkan yang Aceman mempunyai panjang 4075mm, 1754mm lebar dan 1495mm tinggi. Ini bermakna ia adalah 217mm lebih panjang daripada MINI Cooper tapi lebih pendek 354mm berbanding MINI Countryman.
Aceman standard menampilkan penggunaan motor elektrik tunggal di hadapan yang mampu menjana 181hp kuasa dengan pek bateri 40.7kWh. Varian S pula lebih berkuasa dengan 215hp kuasa maksima dan dipadankan dengan pek bateri 54.2kWh. Varian JCW pula sekadar pada kosmetik luaran dan tidak melibatkan anjakan kuasa.
Aceman dijangka akan dilancarkan di China Auto Show 24 April ini. Macam mana berminat tak dengan MINI berkuasa elektrik sepenuhnya ni. Asyik Tesla je boring lah.
