
WEIIII HONDA KANTOI BUAT FACELIFT MODEL CITY DI INDIA
Selepas beberapa minggu gambar spyshot tersebar atas talian, kini hampir sah bahawa Honda City facelift 2026 akan dilancarkan secara rasmi di India pada 22 Mei 2026. Model ini merupakan facelift kedua untuk generasi kelima Honda City, dengan fokus utama diberikan kepada rekaan lebih moden, penambahan teknologi baharu dan sistem bantuan pemanduan yang dipertingkat.
Dari segi harga pula, media automotif India menjangkakan Honda City facelift ini akan bermula sekitar RM67,000 hingga RM73,000 untuk varian asas petrol manual. Bagi varian tertinggi termasuk versi hybrid e:HEV pula, harganya dijangka boleh mencecah sekitar RM110,000 hingga RM112,000 bergantung kepada spesifikasi dan varian.
Untuk pasaran India, Honda dijangka masih mengekalkan enjin 1.5-liter naturally aspirated DOHC i-VTEC yang sama seperti model sekarang. Enjin petrol ini menghasilkan sekitar 121 hp dan 145 Nm tork, dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan atau CVT.

Untuk pasaran India Honda nampaknya belum bercadang menggunakan enjin turbo kecil seperti pesaing mereka kerana syarikat itu masih mengekalkan fokus terhadap karakter enjin NA yang lebih lancar, responsif dan tahan lama. Sebagai rujukan Honda Thailand menggunakan enjin 1.0 Turbo
Honda juga dijangka terus menawarkan varian City e:HEV hybrid di India. Sistem hybrid ini menggunakan gabungan enjin petrol 1.5-liter Atkinson Cycle bersama motor elektrik, dengan output keseluruhan sekitar 126 hp. Model hybrid ini lebih memfokuskan kepada penjimatan minyak dan pengalaman pemanduan yang lebih senyap, sesuatu yang semakin popular di India selepas kenaikan harga bahan api di sana.
Dari segi rekaan luar, perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan dengan gril baharu yang lebih nipis dan kemas, bersama bampar depan yang direka semula supaya nampak lebih agresif dan premium.

Lampu hadapan juga kelihatan lebih tajam, menjadikan rupa keseluruhan City ini sedikit sebanyak mengingatkan kepada Honda Accord dan Civic generasi terkini. Bahagian belakang pula menerima kemasan lebih minimalis dengan grafik lampu yang dikemaskini.
Di dalam kabin, Honda dijangka tidak melakukan perubahan besar pada struktur dashboard, tetapi beberapa ciri baharu bakal ditambah untuk memastikan City terus relevan menentang Hyundai Verna, Volkswagen Virtus dan Skoda Slavia untuk pasaran India.
Antara ciri yang disebut dalam laporan termasuk skrin multimedia lebih besar, kamera 360 darjah, kusyen sejukan udara serta bantuan kuasa elektrik dan sistem Honda Sensing ADAS yang dipertingkat. Ada juga kemungkinan Honda memperkenalkan tema warna dalaman baharu untuk memberi suasana lebih premium.
Pengenalan model ini dilihat sebagai usaha Honda untuk memastikan City terus relevan sehingga generasi baharu muncul sekitar 2028 nanti. Walaupun trend SUV semakin kuat di India, Honda nampaknya masih percaya sedan kompak mempunyai peminat tersendiri, terutama pembeli yang mahukan keselesaan, ruang kabin luas dan pengalaman pemanduan lebih matang berbanding SUV kompak biasa



