
JETOUR ZONGHENG G700 DEBUT DI CHINA, SUV PHEV OFF-ROAD JARAK SEHINGGA 1,400KM
Jenama Jetour memperkenalkan model baharu di bawah sub-jenama premium Zongheng menerusi G700, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) bersaiz besar yang dibangunkan dengan keupayaan off-road serius.
Model ini menampilkan gaya badan berkotak dengan elemen lasak seperti gril hadapan besar, lampu LED segi empat, pelindung bawah badan, rim 20-inci, tangga sisi automatik serta tayar simpanan pada pintu belakang.
Sebagai SUV 4×4 besar, G700 berukuran 5,198mm panjang, 2,050mm lebar dan 1,956mm tinggi dengan jarak roda 2,870mm.

Walaupun tampil garang di luar, ruang kabin G700 lebih berorientasikan kemewahan. Ia ditawarkan dengan konfigurasi dua atau tiga baris tempat duduk, termasuk susun atur 2-2-2 untuk enam penumpang.
Papan pemuka menampilkan paparan digital bersaiz 35.4-inci yang merentangi bahagian hadapan, dipadankan dengan skrin infotainmen tengah 15.6-inci.
Kawalan fizikal masih dikekalkan pada konsol tengah bagi fungsi penting seperti pendingin hawa, mod pemanduan dan diff-lock.

Tuil gear pula diposisikan pada bahagian kanan stereng. Semua tempat duduk dibalut kulit sintetik dengan fungsi larasan elektrik, pemanas dan pengudaraan untuk barisan pertama dan kedua.
Varian tertinggi turut dilengkapi skrin hiburan bumbung, sistem audio Lexicon, lampu ambien pelbagai warna serta bumbung panoramik.
Di bahagian trenkuasa, G700 menggunakan sistem plug-in hybrid Kunpeng milik Chery. Ia menggabungkan enjin turbodiesel 2.0 liter empat silinder berkuasa 208hp dan 340Nm bersama dua motor elektrik serta transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan.

Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 892hp dan tork 1,135Nm, membolehkan SUV besar ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat.
Tenaga elektrik disimpan dalam bateri LFP 31.4kWh yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 150km, manakala jarak keseluruhan mencecah 1,400 km dengan bantuan tangki bahan api 100 liter.
Sistem pengecasan pantas 4C pula membolehkan bateri dicas dari 20 hingga 80 peratus dalam sekitar 10 minit.
Di China, G700 ditawarkan pada harga antara CNY329,900 hingga CNY414,900 (sekitar RM195,000 hingga RM246,000).
GALERI:













