
MICHELIN MALAYSIA PERKENAL PRIMACY 5 ENERGY DAN PILOT SPORT 5 ENERGY – HARGA MULA RM614
Michelin Malaysia terus memperkukuh penawaran tayar premium dengan memperkenalkan dua rangkaian baharu iaitu MICHELIN Primacy 5 energy dan MICHELIN Pilot Sport 5 energy.
Kedua-dua model ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan mobiliti moden yang semakin menitikberatkan kecekapan tenaga, keselamatan serta ketahanan jangka panjang.
Pelancaran tersebut juga menandakan langkah penting Michelin dalam menawarkan tayar berprestasi tinggi yang sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan termasuk model enjin pembakaran dalaman, hibrid serta kenderaan elektrik (EV).
Kedua-dua tayar baharu ini turut menggabungkan ciri pengendalian mantap dengan penggunaan tenaga lebih efisien.

MICHELIN Primacy 5 energy: Tayar Premium Tiga-A
MICHELIN Primacy 5 energy diperkenalkan sebagai tayar premium dengan penarafan EU tiga-A meliputi cengkaman permukaan basah, kecekapan tenaga dan tahap bunyi.
Ia turut menawarkan jangka hayat panjang dalam segmennya, sekali gus menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Antara teknologi yang digunakan termasuk Silent Rib Gen-3 dan Piano Acoustic Tuning bagi mengurangkan bunyi serta meningkatkan keselesaan kabin.
Dari sudut keselamatan, teknologi MaxTouch membantu mengoptimumkan sentuhan tayar dengan permukaan jalan bagi memastikan prestasi membrek kekal konsisten walaupun tayar semakin haus.
Selain itu, teknologi Slim Belt bersama sebatian Energy Passive 2.0 membantu mengurangkan rintangan gelinciran.
Hasilnya, penggunaan bahan api lebih rendah bagi kenderaan konvensional, manakala model elektrik memperoleh jarak perjalanan lebih panjang.
Di Malaysia, MICHELIN Primacy 5 energy ditawarkan dalam 19 saiz bagi rim 18 hingga 21 inci dengan harga bermula RM614 hingga RM1,624.
MICHELIN Pilot Sport 5 energy: Prestasi Sporti Lebih Efisien

Sementara itu, MICHELIN Pilot Sport 5 energy pula memfokuskan kepada prestasi pemanduan dinamik dengan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan.
Tayar ini menerima penarafan dua-A Eropah bagi cengkaman permukaan basah dan rintangan gelinciran, menjadikannya antara tayar sport paling cekap dalam kelasnya.
Teknologi Dynamic Response membantu meningkatkan ketepatan stereng serta pengendalian ketika memandu agresif. Pada masa sama, teknologi Piano Acoustic turut mengurangkan bunyi tayar bagi memastikan keselesaan pemanduan harian.
Tayar ini juga menggunakan reka bentuk Bi-Compound yang menggabungkan sebatian cengkaman tinggi di bahagian tengah dengan sebatian cekap tenaga pada bahu tayar.
Gabungan ini membolehkan pemandu menikmati pengendalian lebih tajam tanpa mengorbankan kecekapan bahan api atau jarak perjalanan EV.
MICHELIN Pilot Sport 5 energy ditawarkan dalam 17 saiz untuk rim 18 hingga 21 inci dengan harga antara RM930 hingga RM2,006.
Kedua-dua rangkaian baharu ini turut menampilkan teknologi Premium Touch pada dinding sisi tayar yang menghasilkan kemasan hitam matte dengan tekstur mikro, memberikan penampilan lebih premium sesuai dengan kenderaan moden.
Rangkaian MICHELIN Primacy 5 energy dan MICHELIN Pilot Sport 5 energy kini boleh didapati di semua pengedar tayar sah Michelin di seluruh negara.
GALERI:
MICHELIN Primacy 5 energy









MICHELIN Pilot Sport 5 energy














