
PROTON S70 LITE DAN PRIME RASMI DILANCARKAN, HARGA BERMULA RM59K
PROTON hari ini memperluaskan barisan sedan segmen-C S70 menerusi pelancaran dua varian baharu, iaitu S70 Lite dan S70 Prime.
Kedua-dua model tersebut ditawarkan pada harga lebih mampu milik, masing-masing RM59,800 dan RM62,800 tanpa insurans.
Walaupun ditawarkan pada harga lebih rendah, S70 Lite masih hadir dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi yang biasanya ditemui pada model dalam segmen lebih tinggi.

Proton S70 1.5 Lite
Harga: RM59,800
Spesifikasi utama:
- Enjin i-GT 1.5 liter
- Transmisi CVT
- 120hp
- 150Nm tork
- Enam beg udara
- Electronic Stability Control (ESC)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Lane Change Assist (LCA)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Rear Collision Warning (RCW)
- Door Opening Warning (DOW)
- Brek parkir elektronik (EPB)
- Kawalan jelajah (Cruise Control)
- Lampu utama halogen
- Lampu siang LED (DRL)
- Rim aloi 16-inci
- Tempat duduk fabrik
- Sistem infotainmen 8-inci
- Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Kamera undur
- Penghidup enjin jarak jauh
- Sensor parkir belakang

Proton S70 1.5 Prime
Harga: RM62,800
Selain semua kelengkapan varian Lite, S70 Prime turut menerima:
- Lampu utama LED
- Lampu utama automatik
- Cermin sisi lipat automatik
- Rim aloi 17-inci
- Stereng balutan kulit tiruan
- Tempat duduk kulit tiruan
- Sistem penyaman udara automatik
- Sensor parkir hadapan
Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan, PROTON turut memperkenalkan beberapa pakej dan komitmen baharu kepada pelanggan.
Antaranya ialah pakej Pro-Warranty yang menawarkan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma.
Melalui Pro-Finance, pelanggan boleh menikmati pembiayaan sehingga sembilan tahun dengan kadar faedah bermula 2.35 peratus setahun bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2026.

Pelanggan juga mendapat manfaat menerusi program Pro-Shield, yang merangkumi perlindungan cermin hadapan, perlindungan bencana khas, perlindungan kemalangan diri penumpang sehingga RM15,000 seorang serta bantuan banjir sehingga RM2,000.
Selain itu, program Pro-Trade-In menawarkan sokongan tambahan sehingga RM2,000 bagi pelanggan yang menukar kenderaan lama kepada Proton S70 baharu.
PROTON turut memperkenalkan jaminan 1-Day Service Delivery untuk servis biasa serta 3-Day Work-In-Progress Guarantee, di mana pelanggan akan diberikan kereta ganti dan satu servis percuma sekiranya kerja pembaikan mengambil masa melebihi tiga hari, tertakluk kepada terma dan syarat.
Sempena pelancaran Proton S70 Lite dan Prime, PROTON turut menawarkan harga pelancaran istimewa selepas rebat bagi tempoh terhad. Proton S70 1.5 Lite ditawarkan pada harga RM56,800, manakala Proton S70 1.5 Prime berharga RM59,800. Harga tersebut adalah atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia.
GALERI:


































