Buletin

JUALAN EV GLOBAL SUSUT PADA FEBRUARI, PASARAN CHINA PALING TERKESAN

Jualan kenderaan elektrik (EV) global kembali mencatat penurunan pada Februari, dengan kemerosotan ketara didorong oleh prestasi lemah pasaran China, yang menyaksikan kejatuhan paling besar sejak awal pandemik COVID-19 pada 2020.

Menurut data firma perunding Benchmark Mineral Intelligence (BMI), pendaftaran EV di seluruh dunia susut 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Secara keseluruhan, jumlah jualan global jatuh ke sekitar satu juta unit, paras terendah sejak Februari tahun lalu.

China, yang merupakan pasaran EV terbesar dunia, menjadi penyumbang utama kepada penurunan ini.

Pendaftaran kenderaan elektrik bateri dan hibrid plug-in di negara itu merosot 32 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah kurang daripada 500,000 unit. Kejatuhan ini selari dengan penurunan 34 peratus dalam jualan keseluruhan kenderaan di negara tersebut.

Antara faktor termasuk penamatan insentif kerajaan seperti skim tukar beli kenderaan serta pengecualian cukai EV yang berakhir hujung tahun lalu.

Keadaan ini menjadikan pengguna lebih berhati-hati, khususnya dalam persekitaran ekonomi yang sensitif terhadap harga.

Di Amerika Utara, jualan EV turut menguncup sebanyak 35 peratus kepada bawah 90,000 unit, menandakan penurunan bulan kelima berturut-turut. Ini berlaku selepas penamatan kredit cukai EV di Amerika Syarikat serta cadangan dasar oleh pentadbiran Donald Trump yang mahu melonggarkan piawaian pelepasan karbon.

Perkembangan tersebut, ditambah dengan permintaan global yang semakin perlahan, memaksa beberapa pengeluar automotif utama mencatatkan kerugian besar mencecah puluhan bilion dolar.

Di Eropah pula, walaupun terdapat langkah melonggarkan sasaran pelepasan karbon, jualan EV masih mencatatkan peningkatan 21 peratus pada Februari, namun pada kadar pertumbuhan yang lebih sederhana berbanding tahun lalu.

Sementara itu, pasaran lain di luar tiga wilayah utama menunjukkan perkembangan positif, dengan lonjakan 78 peratus kepada lebih 180,000 unit.

Pertumbuhan ini didorong oleh pengembangan agresif pengeluar dari China ke pasaran Asia, Australia dan Eropah, walaupun berdepan persaingan sengit di pasaran domestik.

Google ads
Back to top button