
GEELY GALAXY STARSHINE 8 ‘VOYAGER SERIES’ HADIR DENGAN ‘GOLDEN BATTERY’, JARAK GERAK 1,725KM
Geely terus memperkukuh barisan sedan hibrid plug-in apabila memperkenalkan versi terbaru Galaxy Starshine 8 “Voyager Series”, kini dipadankan dengan sistem bateri generasi baharu serta ciri bantuan pemandu yang lebih canggih.
Antara pembaharuan utama ialah penggunaan bateri “Golden Battery” generasi kedua, yang membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh kira-kira 225km.
Apabila digabungkan dengan enjin, model ini mampu mencapai jarak keseluruhan sehingga sekitar 1,725km – satu angka yang meletakkannya antara sedan PHEV paling efisien dalam kelasnya.
Prestasi pengecasan turut dipertingkat, dengan sokongan kuasa sehingga 75kW. Bateri ini dikatakan boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 15 minit sahaja, selain mampu bertahan lebih 4,500 kitaran pengecasan.

Dari segi penggunaan bahan api, Geely menyasarkan sekitar 3 liter bagi setiap 100 km, walaupun piawaian ujian tidak diperincikan.
Model ini masih menggunakan sistem hibrid Leishen EM-i dan EM-P, namun butiran kuasa serta konfigurasi trenkuasa tidak didedahkan. Apa yang pasti, fokus kini lebih kepada kecekapan jarak jauh dan keselesaan pemanduan.
Dari sudut teknologi, Voyager Series memperkenalkan sistem bantuan pemandu Qianli Haohan H5 yang menyokong fungsi navigasi automatik dalam persekitaran bandar.
Menariknya, sistem ini tidak bergantung sepenuhnya kepada peta definisi tinggi atau garisan jalan, sebaliknya menggunakan gabungan 27 sensor termasuk lidar, radar gelombang milimeter, kamera dan radar ultrasonik.

Sistem ini mampu mengendalikan pelbagai situasi pemanduan kompleks, termasuk memotong kenderaan secara automatik serta menukar lorong melalui arahan suara.
Turut ditambah ialah indikator lampu biru di bahagian luar kenderaan bagi memaklumkan status sistem kepada pengguna jalan raya lain.
Ciri keselamatan standard merangkumi sistem kawalan kestabilan ketika tayar pecah sehingga kelajuan 160km/j, serta bantuan stereng kecemasan (AES).
Dari segi rekaan, Starshine 8 kekal sebagai sedan bersaiz besar dengan panjang melebihi 5 meter dan jarak roda hampir 3 meter. Pilihan warna baharu seperti “Rizhao Gold” dan “Danxia Mineral” turut diperkenalkan.

Bahagian dalaman pula menampilkan sistem kokpit Flyme Auto 2, sistem audio 23 pembesar suara serta tempat duduk belakang eksekutif dengan fungsi pelarasan kuasa, menekankan keselesaan penumpang.
Dilancarkan di pasaran China pada 2025 sebagai model utama dalam siri Galaxy, Starshine 8 menyasarkan gabungan jarak pemanduan jauh dan nilai kompetitif.
Versi terkini ini dilihat sebagai langkah berterusan Geely dalam meningkatkan ketahanan serta kecekapan teknologi hibrid dan elektrik.
Setakat ini, harga rasmi bagi varian Voyager Series masih belum diumumkan, begitu juga dengan perincian kapasiti bateri dan spesifikasi penuh trenkuasa.



