
BYD MALAYSIA LANTIK JACOB MA SEBAGAI PENGARAH URUSAN BAHARU
BYD Malaysia mengumumkan perubahan kepimpinan strategik susulan penstrukturan semula peranan di peringkat serantau.
Eagle Zhao kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia, manakala jawatan Pengarah Urusan BYD Malaysia disandang oleh Jacob Ma.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah memperkukuh organisasi syarikat di Asia Tenggara, dengan Malaysia kekal sebagai antara pasaran utama pertumbuhan.
Sepanjang tempoh menerajui operasi tempatan, Eagle Zhao memainkan peranan penting dalam mengembangkan jenama BYD serta premium subjenamanya, DENZA.

Di bawah kepimpinannya, lebih 30,000 kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.
Selain itu, rangkaian pengedar turut diperluas dengan sokongan sistem selepas jualan yang lebih kukuh, sekali gus mempercepat penerimaan kenderaan tenaga baharu dalam pasaran tempatan.
Menurut Zhao, pengalaman di Malaysia menjadi antara detik penting dalam perjalanan kerjayanya bersama BYD.
Beliau yakin asas yang telah dibina akan terus menyokong perkembangan kedua-dua jenama pada masa akan datang.
Mengambil alih peranan tersebut, Jacob Ma membawa pengalaman luas di peringkat antarabangsa, termasuk di ibu pejabat BYD di Shenzhen.
Sebelum ini, beliau terlibat dalam pembangunan program kesiapsiagaan pasaran global serta memperkukuh standard operasi rangkaian runcit. Malah, ketika berkhidmat di Indonesia, beliau turut memainkan peranan dalam mempertingkat keupayaan organisasi merentas beberapa pasaran.
Dengan latar belakang awal sebagai perunding serta pengalaman dalam industri penerbangan, beliau memiliki kelebihan dalam mengurus kerjasama rentas sektor dan transformasi operasi.
Jacob menyifatkan pelantikannya hadir pada waktu penting buat syarikat di Malaysia, dengan fokus utama untuk memperkukuh operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan serta memastikan pertumbuhan mampan bagi jenama BYD dan DENZA.
Sebagai Pengarah Urusan, beliau akan mengetuai strategi keseluruhan syarikat meliputi jualan, pemasaran, pembangunan rangkaian serta perkhidmatan selepas jualan.
Tumpuan juga akan diberikan kepada pengukuhan kerjasama bersama rakan pengedar serta peluasan penawaran produk di pasaran.
Peralihan kepimpinan ini mencerminkan komitmen berterusan BYD Malaysia dalam memacu pertumbuhan mobiliti elektrik, di samping menyokong pembangunan ekosistem hijau selari dengan aspirasi negara.









