
JENAMA MEWAH HONGQI SAH KE PASARAN MALAYSIA, QUILL GROUP PENGEDAR RASMI
Jenama automotif mewah dari China, Hongqi, bakal memasuki pasaran Malaysia selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Quill Group of Companies bagi tujuan pengedaran rasmi di negara ini.
Perjanjian tersebut turut melibatkan syarikat induk Hongqi, China First Automotive Works (FAW) Group, yang memberi mandat kepada Quill Group sebagai pengimport dan pengedar utama.
Kerjasama strategik itu membuka laluan kepada jenama mewah bersejarah dari China berkenaan untuk menembusi segmen kenderaan ultra mewah tempatan.
Hongqi yang membawa maksud “Bendera Merah” dikenali sebagai jenama rasmi yang pernah digunakan pemimpin tertinggi China dan dianggap simbol kebanggaan industri automotif negara tersebut.
Jenama itu berada di bawah FAW Group, antara pengeluar automotif terawal yang ditubuhkan kerajaan pusat China. Pelancarannya di Malaysia disasarkan berlangsung sebelum penghujung tahun 2026.
Melalui MoU berkenaan, Quill Group akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dengan mengetuai aktiviti import, pemasaran serta pembangunan rangkaian jualan.
Kerjasama itu juga bertujuan membawa reka bentuk eksklusif, prestasi tinggi dan piawaian keselamatan antarabangsa Hongqi kepada pengguna tempatan dalam segmen premium.
Pengerusi Eksekutif Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low, berkata pihaknya berbangga diberi kepercayaan memperkenalkan Hongqi ke Malaysia, sambil menyifatkan jenama tersebut mempunyai legasi tersendiri serta reputasi global dalam kualiti dan kemewahan.
Menurut beliau, Malaysia juga dilihat sebagai antara pasaran pemanduan sebelah kanan yang penting dalam strategi pengembangan Hongqi, selari hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China sejak sekian lama.
Tambahnya, Quill Group akan memanfaatkan kepakaran korporat sedia ada bagi meningkatkan keyakinan pelanggan menerusi program pemasaran menyeluruh, sokongan selepas jualan lengkap serta ketersediaan alat ganti yang lancar.
Ketika ini, Hongqi telah dieksport ke lebih 80 negara termasuk Eropah, Timur Tengah, Amerika Latin dan Asia Tenggara.
Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal serta rangkaian pengedar di Malaysia akan diumumkan kemudian.







