
HARGA RON95 TURUN RM1.99 SELITER AKHIR SEPTEMBER!
Kerajaan mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September 2025. Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang dirangka untuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar‑benar memerlukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal komited dengan perancangan penstrukturan semula subsidi, namun rakyat tidak perlu bimbang kerana pendekatan bersasar ini dijamin tidak akan membebankan rakyat biasa.
“Apa yang pasti, sepertimana penyasaran subsidi elektrik, kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terjejas. Malah, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter untuk dinikmati seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam pengumuman khas ‘Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia’ yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurut Anwar, harga baharu itu bakal memberi manfaat kepada kira‑kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal, termasuk golongan belia seawal usia 16 tahun serta pekerja ekonomi gig.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan bersasar ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengoptimumkan sumber negara dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi 2023 dan 2024, subsidi untuk RON95 sahaja dianggarkan mencecah hampir RM20 bilion setahun. Walaupun tahun ini harga minyak dunia mengalami sedikit penurunan, harga pasaran RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter, jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi yang dinikmati rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan turut menegaskan bahawa warganegara asing tidak akan menikmati harga subsidi dan perlu membayar harga pasaran sebenar bagi petrol RON95.
Pengumuman ini dilihat sebagai salah satu langkah kerajaan untuk memastikan beban kos sara hidup rakyat terus diringankan di samping memastikan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih adil dan berkesan. – Harian Metro

