Buletin

KABIN BERASAP, PESAWAT MASWINGS BERPATAH BALIK KE MIRI

Sebuah pesawat ATR 72-500 milik MASwings yang dalam penerbangan dari Miri ke Labuan petang semalam terpaksa berpatah balik ke Miri. 

Situasi yang mencemaskan itu terpaksa dilalui oleh 29 penumpang dan empat kru berikutan ada asap keluar dari kabin pesawat. 

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada jam 4.32 petang. Justeru, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikejarkan ke Lapangan Terbang Miri.

“Bomba menerima panggilan memaklumkan terdapat asap keluar dari kabin pesawat yang ketika itu baru berlepas ke Labuan.

“Pesawat itu yang berlepas pada jam 4.05 petang kemudian berpatah balik dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 4.24 petang,” katanya.

Ling Hii berkata, sebaik mendarat, pihak pengurusan Lapangan Terbang Miri mengesahkan tiada kebakaran berlaku pada pesawat berkenaan.

“Bagaimanapun, penerbangan dibatalkan dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Kejadian itu masih dalam siasatan lanjut oleh Bomba Lapangan Terbang dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB). – Berita Harian

Tags
Google ads
Back to top button