Buletin

MALAYSIA AIRLINES BHD SEDIA PULANGKAN KESEMUA AIRBUS 380, TIDAK ADA PEMBELI YANG BERMINAT

Malaysia Airlines Bhd, unit syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), dipercayai akan memulangkan kesemua enam Airbus A380 kepada pengeluar pesawat Airbus menjelang akhir tahun.

Rancangan itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dibuat berikutan syarikat penerbangan itu baru-baru ini membeli 20 A330-900 neo baharu, dengan pilihan enjin baharu pada Ogos tahun ini.

Kemungkinan tidak ada pasaran terpakai untuk A380 kerana tiada pembeli kukuh walaupun Malaysia Airlines telah meletakkan pesawat super jumbo itu untuk dijual selama lebih setahun.

Pada 12 Julai tahun lepas, syarikat penerbangan itu mengeluarkan notis tender untuk pihak yang berminat membeli pesawat atau komponen A380.

Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan yang lantang bercakap mengenai A380 ialah Akbar Al Baker dari Qatar Airways. Akbar mengatakan bahawa pasaran terpakai untuk A380 adalah sifar, mustahil program ini berada di situasi sebaliknya kelak.

Sementara itu, jurucakap MAG berkata kumpulan itu merancang untuk tidak lagi menggunakan A380 menjelang akhir 2022.

“Bagaimanapun, terma berkaitan perjanjian dengan Airbus kekal sulit,” kata jurucakap MAG itu ketika ditanya mengenai perjanjian itu.

Jurucakap Airbus juga memetik komen yang sama, mengatakan “syarat perjanjian kami dengan MAG adalah sulit.”

Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail berkata pada Jun lalu pesawat itu tidak lagi berada dalam kumpulan syarikat penerbangan itu disebabkan melibatkan kos operasi yang lebih tinggi kerana A380 mempunyai empat enjin.

“Jika anda melihat teknologi pesawat masa depan, ia semua mengenai enjin berkembar dan jarak jauh. Jadi, jika anda ingin berdaya saing, anda tidak boleh meletakkan A380 kerana kos operasinya tinggi.” Katanya.

Google ads
Back to top button