Buletin

SELEPAS GUNA KURANG 3 TAHUN, MALAYSIA AIRLINES PULANGKAN PESAWAT AIRBUS A380 KE TARBES

Malaysia Airlines mula menghantar pesawat Airbus A380 miliknya ke Tarbes, Perancis setelah syarikat penerbangan itu mengumumkan untuk menghentikan operasi semua enam pesawat A380.

Pesawat yang digelar Dugong Malaysia itu telah mendarat di Tarbes pada jam 3.12 petang waktu tempatan, lewat kira-kira 90 minit daripada yang dirancang.

Pesawat itu ditempah oleh Malaysia Airlines hampir 19 tahun yang lalu, pada 11 Disember 2003. Namun Malaysia Airlines hanya menerima pesawat A380 pada Oktober 2012 dan mula melakukan penerbangan tanpa henti ke destinasi seperti London, Seoul, Tokyo, Hong Kong serta Australia.

Sehingga kini, pesawat itu hanya menghabiskan 26,131 jam di langit (bersamaan dengan 2.98 tahun) merentasi 2,446 penerbangan.

Airbus A380 dilengkapi enjin Rolls-Royce Trent 900 dan kabin tiga kelas dengan 486 tempat duduk. Ia terdiri daripada 412 kelas ekonomi, 66 kelas perniagaan serta lapan kabin kelas pertama.

Selain Malaysia Airlines, Air France merupakan syarikat penerbangan pertama yang mengumumkan penamatan operasi pesawat A380 dua tahun lalu. Setelah itu, barulah syarikat penerbangan dari China, China Southern mengikuti jejak Air France untuk menghentikan armada A380.

Syarikat lain yang turut menghentikan penggunaan pesawat tersebut ialah Emirates, Etihad, Hi Fly dan Lufthansa.

Sebelum ini media melaporkan Malaysia Airlines akan memulangkan semua enam pesawat A380 kepada Airbus sebagai sebahagian daripada perjanjian pembelian 20 buah pesawat A330-9000 neo pada Ogos lalu.

Google ads
Back to top button