
KAMERA PENTAX K-3
RICOH Imaging Company Ltd. (Ricoh) dengan bangganya memperkenalkan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) baharu mereka yang digelar Pentax K-3.
Perincian yang dilengkapi fungsi simulator antialias kamera itu menjadi inovasi teristimewa khusus buat para jurugambar profesional dan pencinta seni fotografi di Malaysia.
Tanpa memerlukan pemasangan penapis optikal antialias, Pentax K-3 berupaya mengurangkan kesan beralun pada imej dengan efektif. Bagaimanapun, pengguna masih diberi pilihan sama ada mahu menggunakan penapis atau tidak sewaktu merakam pemandangan atau objek menerusi lensa kamera tersebut.
Pengurus Produk Ricoh, Takashi Arai menjelaskan, Pentax siri K memberikan paparan imej yang lebih berkualiti menerusi ciri sensitiviti ISO 51,200 dan 24 megapiksel.
“Kamera ini lebih baik berbanding produk yang menerapkan ciri rakaman berterusan berkelajuan tinggi kerana ia dilengkapi kuasa 8.3 bingkai sesaat (fps). Selain kelebihan simulator antialias yang amat dikehendaki kebanyakan jurugambar,” katanya.
Pentax K-3 turut dilengkapi sensor imej terbaharu APS-C saiz CMOS 2.35 x 1.56 sentimeter. Ciri itu digabungkan bersama enjin memproses imej PRIME III yang bertujuan melonjakkan kemampuan pemprosesan imej, sekali gus mengurangkan ‘noise’ secara efisien. Hasilnya, pengguna akan mendapat gambar yang berkualiti tinggi walaupun berada dalam suasana yang amat terang.
Pada majlis yang sama, penerbit majalah DSLR, KL Yeam hadir bagi memberikan tutorial bernas tentang penggunaan Pentax K-3.Sebagai pakar pembidik foto studio dan jalanan, Yeam berjaya menerangkan aspek teknikal kamera baharu tersebut dengan terperinci.
Dia menyentuh tentang ciri paparan hablur cecair (LCD) mudah lihat 3.2 inci dengan anggaran 1,037,000 dot (nisbah 3:2) dan kaca waja pada panel hadapan sebagai jaminan ketahanan.
Tambah Yeam, binaan air-gapless yang menidakkan ruang udara antara lapisan LCD mampu mengurangkan kesan pantulan balik dan penyebaran cahaya yang menjadi penyebab gambar kabur sewaktu merakam foto di luar bangunan. Selain itu, Pentax K-3 turut dilengkapi kemudahan tayangan imej yang tampak bernyawa saat foto-foto dilihat kembali.
Majlis perasmian kamera tersebut diadakan penuh
meriah di Bridge Bar, Menara G, Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengurus Jualan Ricoh Jepun Malaysia, Ryota Shimamoto.
Ricoh turut mengumumkan penawaran Pentax K-3 edisi perak premium, terhad sebanyak 2,000 unit di seluruh dunia. Kemasan badan dan pemegang berona perak tersebut merupakan pelengkap lensa versi perak edisi terhad yang direka khusus bagi menjelaskan imej kabur.
[hr]GALERI