Artikel PilihanMotosikal

KENAPA MALAYSIA SUKA KAPCAI? KENAPA BUKAN SKUTER SEPERTI INDONESIA DAN THAI?

Dari tahun-tahun awal Boon Siew Honda memulakan industri motosikal tempatan, kelihatannya poliferasi pemilikan motor masih tidak pernah berubah. Orang Malaysia masih memilih mod pengangkutan motosikal underbone/moped atau kapcai dan sehingga ke hari ini pun, jualan kapcai masih lagi mendahului senarai keseluruhan.

Boon Siew Honda pernah agung dengan menguasai pasaran motosikal menerusi model cub C70, kemudian merajai jalanan dengan EX-5 100cc dari tahun 90an hinggalah ditamatkan pengeluarannya pada 2014.

BACA: BERBALOIKAH BELI Y15ZR TERPAKAI?

Kemudian, Yamaha mula mendominasi pasaran menerusi rangkaian Lagenda (dan seterusnya LC135). Dalam perkembangan lain, jenama baru Modenas mula mencuri sedikit peluang pasaran.

Dan menjelang kemasukan milenium baru, jenama-jenama baru pula muncul. Ada Nitro, Demak, JRD, Daelim, Sym, Keeway, Comel dan kebanyakan mereka yang menjual skuter, tidak berjaya. Yang menjual Cub, nampak lebih bertahan.

Ingat MZ Moskito yang terkenal dengan skuter kecil itu? Ia di bawah edaran Kumpulan Hong Leong.

Tapi bungkus juga.

Dan hari ini, kedua-dua jenama paling berpengaruh Jepun berentap pula dalam liga super moped. Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.

Dan walaupun kita nampak Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R bersama Yamaha NMAX/NVX yang semakin banyak di jalanan, sebenarnya bukan ini model yang paling laku dari kedua-dua pengeluar.

Ia masih sejenis kapcai iaitu Honda dengan Wave Alpha dan Yamaha dengan Lagenda/LC135.

Benar.

Tapi kenapa Malaysia lebih menggemari Kapcai?

Kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia (dan semuanya lah senang termasuk Vietnam, Filipina bagai) semua mereka sudah lama beralih kepada skuter.

BACA: MUZIUM MOTOSIKAL POWER DI SIAM!

Berikut adalah analisis perbincangan pasukan mekanika yang diketuai oleh Abang Japar sebagai pengerusi majlis.

Setelah pergi ke negara-negara jiran beberapa kali, kami dapat simpulkan faktor-faktor ini menjadikan kapcai tetap pilihan utama rakyat Malaysia.

1. LEBUHRAYA

Berbeza dengan Malaysia, negara seperti Thailand dan Indonesia TIDAK membenarkan motosikal menggunakan lebuhraya bertol mereka. Ya.. sedih kan?

Padan muka.

Hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang membenarkan motosikal melalui Lebuhraya bertol dan lebih menarik lagi, hanya Malaysia sahaja pengguna motosikal tidak dikenakan bayaran Tol.

Sebenarnya pada sekitar penghujung 80-an dulu mantan menteri pengangkutan paling lejen iaitu Dato’ Sri Samy Vellu pernah mengarahkan bayaran tol motosikal di Jalan Pahang.

Akibatnya macam nak meletup Kuala Lumpur pada masa tu dan tak lama kemudian ia dibatalkan.

BACA: MODENAS MR2-MOTOSIKAL RAKYAT

2. PENYELENGGARAAN MURAH

Apa juga alasan yang kita reka, secara asasnya penyelenggaraan motosikal moped/kapcai adalah sangat murah.

Ia menggunakan mekanisme asas, apa lagi pada motosikal dua lejang yang sangat ringkas jika dibandingkan dengan skuter.

Sistem gear menjadi punca penyelenggaraan utama. Kapcai menggunakan susunan gear manual menggunakan gigi gear, klac yang terdiri dari sebahagian enjin sementara skuter menggunakan sistem CVT automatik yang boleh dikatakan tak sesuai dengan proril penunggang di Malaysia.

Yelah. Asal kami siarkan motor baru je mesti tanya. “Berapa top Speed?:

Memang kau jenis pergi kedai beli santan pun pecut satulapan eh?

3. TAHAN LASAK

Kapcai mampu merentas apa juga laluan yang ada. Lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan mungkin boleh menterjemahkan segala bentuk mukabumi yang boleh dilalui oleh sebuah kapcai.

Kadang-kadang ada air bertakung paras pinggang, kadang-kadang ada lubang kubur tengah jalan, kadang-kadang ada kesan letupan gunung berapi, Kadang-kadang tengah menunggang tiba-tiba ada pasir, Abang Japar pun keliru ni bandar ke Pantai Teluk Kemang?

Kapcai juga boleh panjat pembahagi jalan. Skuter boleh?

Boleh kalau nak tengok coverset tersangkut atas divider.

4. MOTOR MURAH

Jika dibandingkan dengan skuter, rata-rata harga motosikal moped lebih murah. Motosikal lejen seperti Honda EX-5 suntikan bahanapi baru sekitar RM5,000. Ia motosikal ringkas, lasak dan dicampak dari bangunan 50 tingkat pun Insyaallah masih boleh jalan.

Untuk RM5,000, anda mungkin cuma dapat skuter Sym atau Modenas 125 atau Honda Beat yang kesemuanya lemau selepas setahun dilenjan full throttle setiap pagi.

5. HARGA JUALAN BALIK TINGGI

Pernah kami bicangkan di sini harga sebuah Y15ZR terpakai. Kenapa?

Gabungkan kesemua fakta satu sampai empat di atas. anda akan dapat jawapannya. Faktor-faktor ini lah yang menjadikan permintaan kapcai sentiasa tinggi.

Bandingkan pula harga sebuah skuter. Kalau nasib baik, untung beli Ego LC, Nouvo, NMAX dan PCX. Nasib tak baik, tengok harga Sym VTS. Senduuu…

Begitulah analisis yang dapat kami simpulkan mengenai trend kapcai di Malaysia. 

Bila berbual dengan bos-bos pengeluar motosikal tempatan, ramai yang cakap trend ini akan berubah tak lama lagi sebab skuter semakin canggih dan laju.

Kami bersetuju sekiranya skuter-skuter sedap seperti PCX, NMAX, NVX boleh dijual sama aras dengan harga kapcai dan dengan alatganti yang murah.

ATAU

Skuter maxi 250cc-300cc macam Elegan 250, Sym Evo boleh direka lebih kecik supaya sesuai dengan pemanduan bandar macam Vespa GTS300. 

Skuter Maxi ada kuasa tapi saiznya terlalu besar bagi mereka yang sudah biasa dengan fizikal sebuah kapcai. 

Dan selagi pengeluar seperti Yamaha dan Honda ada kapcai 150cc yang bagus, skuter akan terus berada dalam kelompoknya sendiri.

Ia tak akan menggantikan kapcai pun di Malaysia

Tidak tuan-tuan.

 

Google ads
Back to top button