MotosikalPandu Uji

AL-KISAH SI “MOTOR PEON” – MOTOSIKAL RAKYAT MODENAS KRISS MR2

Ada banyak kenyataan salah tentang persepsi peminat motosikal di Malaysia. Ramai yang mencemuh bila Modenas melancarkan MR2 dengan harapan, mereka nak tengok Modenas perkenalkan super moped 150 untuk bersaing dengan Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.

Kenyataannya ialah, motosikal entry level (motosikal cub-murah) masih merupakan penyumbang terbesar bagi mana-mana pengeluar motosikal di Malaysia. Boon Siew Honda menguasai pasaran berpuluh tahun kerana Honda EX5 (original). Pasaran mereka merudum selepas EX5 asal digantikan dengan model Fi yang lebih moden.

BACA: MODENAS BAKAL LANCAR 3 MODEL BULAN DEPAN

BACA: TUNGGANG UJI MODENAS CT115S

Namun pada hari ini, Honda Wave Alpha dengan signal depan yang ya Rabbi buruk itu jugalah penyumbang terbesar jualan Honda, bukan RS150R. Modenas juga masih mengekalkan penguasaannya menerusi model Kriss MR1, bukan Elegan dan bukan CT115S. Menggantikan MR1 yang “lejen” adalah satu keperluan yang mendesak dari sudut pemasaran.

“Bagus ke motor ni Baii?”

Soalan pertama dari kawan bengkel ketika saya sampai ke bengkel untuk tengok kereta trek yang tak siap-siap lebih setahun lamanya.

Bergantung kepada apa tujuan ia dibeli. Kalau anda harapkan ia laju dan banyak tork, baik lupakan. Tak ada motor yang berharga RM4,000 yang ada katrekter begitu. Yamaha 125Z terpakai mungkin.

Ini adalah motosikal yang direka untuk pasaran MR1. Konsepnya agak mudah, motosikal murah, asas, jimat bahanapi dan mudah selenggara. Resepi ini yang diterapkan pada model entry level Modenas sejak tahun 1997 lagi menerusi model Modenas Kriss.

Pasaran motosikal ini mensasarkan golongan yang memerlukan pengangkutan asas yang mampu milik. Ia dikuasakan oleh enjin empat lejang 110cc karburetor dan sejukan udara yang menghasilkan 6.2Kw pada 7,500rpm.

Antara ciri menarik ialah tangki bahanapi berkapasiti 4.5 liter yang dikatakan mampu membawa kapcai ini sejauh 200 kilometer dengan sekali isian. Dari ujian tunggangan yang saya lakukan. Isian tangki penuh mampu mencatat sehingga 180km sehingga jarum tolok bahanapi melentok ke posisi “E”.

Dari sudut pengendalian, MR2 ini terasa lebih ringan berbanding MR1 (dan CT110). Saya juga memiliki sebuah CT110 dan juga pernah memiliki Kriss original. Apa yang boleh dikatakan, MR2 ini lebih lincah dan sangat mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja.

Berbeza dengan MR1 yang akan berasa lebih berat dan “malas” untuk bergerak, MR2 pula agresif (dalam ertikata enjin 6kW lah). Pecutan awalnya malar tetapi cukup jika digunakan untuk komuter harian, dalam kesesakan, lampu trafik dan mencelah. Jika anda harap ia untuk perjalanan ulang-alik Puncak Alam ke Kuala Lumpur, baik lupakan. Berkicap nak sampai. Top speed pun setakat 100KM/J sahaja.

Antara perkara yang saya gemar tentang motor ini ialah saiz pelananya yang lebar dan kedudukan bar hendal yang agak tinggi. Pelananya memang cukup selesa untuk perjalanan dekat atau jauh. Terasa seperti menunggang sebuah EX5 lama dengan kerusi yang lebih lebar (dan enjin yang sedikit lemau)

MOTOR PEON

Kenapa motor “peon”? Motor peon adalah istilah motor kuda tunggangan harian. Pergi dari titik A-B, bawak barang, tong gas, hantar surat khabar, hantar surat, hantar barang spare-part, anak ke sekolah, pakcik ke masjid dan bukannya konvoi ke Lemang To’Ki dan pantai Morib.

Walaupun dicipta sebagai motor “asas” ternyata spesifikasinya tidak menghampakan. Bagi sebuah kapcai berharga RM4,123.00 (dengan GST), ia salah satu motor yang agak bagus kombinasinya.

Hanya satu varian sahaja diperkenalkan dengan dengan rim aloi dengan tayar tanpa tiub, penghidup elektrik, brek cakera hadapan dan enjin yang menepati piawaian Euro 3.

Di bawah pelananya ialah ruang simpanan barang 6.6 liter berserta satu komparmasi kecil untuk kit selenggara (toolkits). Sayangnya ruang barangan ini tidak boleh memuatkan helmet seperti Honda Future Fi.

Jadi bagaimana secara keseluruhannya?

Pada pandangan saya, ia bukanlah sebuah motor yang sempurna, namun dengan harga jualan sekarang dan spesifikasi yang ada, ia antara yang terbaik di pasaran. Jika anda perlukan sebuah motor peon, harga berpatutan dan reputasi pengeluar yang baik, MR2 mungkin motor yang perlu anda senarai pendekkan.

BACA: SPYSHOT BAJAJ RS200-MODENAS?

GALERI

 

Google ads
Back to top button