BuletinMotosikal

CUB PRIX PERKENAL PENALTI SALAH LAKU SEWAKTU PERLUMBAAN

Melihat kepada persaingan yang semakin sengit di kalangan pelumba, satu bentuk hukuman penalti ke atas kesalahan salah laku pelumba ketika di litar mula diperkenalkan oleh promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi meningkatkan mutu dan semangat kesukanan di kalangan pelumba bermula saingan musim 2017 ini.

Hukuman ke atas pelumba ini akan ditentukan melibatkan tiga pihak berkaitan iaitu Clerk-of-the-Course (CoC), Pegawai Keselamatan dan wakil promoter. Jumlah mata penalti akan ditentukan bergantung kepada tahap kesalahan dari jumlah minimum satu mata penalti sehingga jumlah maksimum 10 mata penalti.

Jenis hukuman pula akan ditentukan mengikut kiraan mata terkumpul yang sah selama 365 hari bermula dari tarikh pelumba dikenakan penalti serta digunapakai dalam kesemua kategori perlumbaan.

Pelumba yang telah mengumpul empat mata penalti secara automatik akan menerima hukuman bermula dari petak belakang pada perlumbaan berikutnya manakala lima mata kejuaraan pula akan ditolak bagi pelumba yang telah mengumpul tujuh mata penalti.

Bagi pelumba yang telah mengumpul 10 mata maksimum akan menerima hukuman tidak dibenarkan beraksi pada pusingan berikutnya.

“Pengenalan penalti atas kesalahan kelakuan pelumba ini sangat tepat pada masanya. Kejuaraan Cub Prix Malaysia telah berkembang sehingga ke hari ini sebagai pentas utama untuk membangunkan dan mengenalpasti bakat sukan permotoran di Malaysia. Kadangkala tingkahlaku pelumba sedikit keterlaluan ketika sedang bersaing sengit untuk mengejar kemenangan. Melalui penalti ini, kami harap dapat memupuk sikap lebih berdisiplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dikalangan pelumba, ” jelas Abdul Halim Zahid, Pegawai Keselamatan Cub Prix yang juga merupakan juara kategori Novis 1996.

BACA: YAMAHA Y15ZR TERBUKTI JUARA DI LITAR

BACA: CUBPRIX 2017, KATEGORI 150CC LEBIH SENGIT

Google ads
Back to top button