
KERETA POLIS PALING PERLAHAN, PALING LEMAH DI DUNIA.
Biasa kalau kita sebut kereta peronda polis, mesti kita terbayang Proton Inspira, Mitsubishi Evo Helang Lebuh Raya, Honda Civic dan paling-paling koman ialah Proton Waja yang telah lama berkhidmat dengan cemerlang. Tapi tahukah anda, selain daripada jenama hebat-hebat PDRM juga ada menggunakan khidmat Perodua Kancil sebagai kereta peronda mereka?
Kami masih belum pasti bagaiamana dan kenapa Perodua Kancil digunakan sebagai kereta peronda PDRM. Tapi ini bukanlah benda yang baru kerana pihak polis di seluruh dunia pun ada beberapa kereta lain yang turut digunakan sebagai kereta peronda polis.
Antara kereta yang digunakan sebagai kereta polis ialah:

1. Smart Fortwo – dalam keadaan standard, enjin 1000cc 3 silinder ini menghasilkan 70 kuasa kuda, manakala versi turbo pula menghasilkan 83 kuasa kuda. Kereta ini digunakan digunakan oleh polis di bandar Prague, Republik Czech boleh memuatkan 2 anggota dalam satu masa.
Cuma kalau dah tangkap penjenayah, nak letak kat mana ek? Atas bumbung kereta ke? Atau ikat kat belakang dan heret ke balai polis?

2. Toyota Prius – dikuasakan dengan enjin 1.8 hibrid, kereta ini digunakan oleh polis di bandar Berlin Jerman. Walaupun ada banyak kereta polis yang lain seperti Porsche, kereta ini dipilih kerana menghasilkan asap yang paling sedikit ketika operasi rondaan
Tapi itulah, Jerman kan negara asal Volkswagen, Audi, Porsche, dan Mercedes. Penulis risau tak larat nak kejar je.

3. Nissan Leaf – bagi memenuhi komitmen terhadap pelepasan asap, pihak polis bandar Gloucestershire telah membeli 75 unit Nissan Leaf sebagai kereta peronda komuniti mereka. Selain mengurangkan pelepasan karbon, kajian mendapati penggunaan Nissan Leaf menjimatkan duit petrol jabatan polis sebanyak RM 795,000 setahun
Dari segi prestasi, Nissan Leaf menghasilkan 148 kuasa kuda, pecutan 0-100 dalam 7.9 saat dan halaju maksima 155km/j. Satu pengecasan penuh membolehkan Nissan Leaf dipandu sejauh 300km dan mereka hanya memerlukan 112 km sahaja sehari untuk tugas rondaan. Kalau tengah kejar penjahat bateri habis macam mana?

4. Renault Zoe – digunakan oleh polis di kebanyakan bandar di Peranchis atas sebab pelepasan gas karbon dioksida. Namun berbeza dengan Nissan Leaf, Renault Zoe 2012 hanya menghasilkan 87 kuasa kuda sahaja dengan jarak perjalanan 210km. Usahkan nak kejar penjahat, nak sampai ke tempat kemalangan pun lambat.

5. Skuter 3 roda -ya lama sebelum New York Police Department menggunakan kereta Smart Fortwo sebagai kereta peronda, mereka menggunakan skuter 3 roda ini sebagai kenderaan utama untuk meronda di kawasan komuniti . Kebanyakan skuter ini digunakan di kawasan taman bagi tujuan mencegah kejadian jenayah
Mungkin penjenayah akan terkucil dalam seluar melihat kehebatan skuter 3 roda ini

6. Kereta Midget – digunakan oleh New Orlean Police Department bagi tujuan rondaan di kawasan kejiranan. Kereta ini hanya nampak sangat sempit walaupun untuk 2 anggota polis yang sedang mengejar penjahat yang menaiki basikal atau kerusi roda.
Maaf kerana kami tiada data berkenaan dengan sistem trenkuasa kereta polis ini samaada menggunakan elektrik ataupun petrol. Apa yang pasti, apabila penjahat ditangkap dia akan duduk atas riba polis dalam perjalanan ke balai. Haaa apa-apa cerita kat balai.

7. Traktor – digunakan oleh jabatan polis Lincolnshire khas untuk kegunaan kawasan pedalaman. Traktor dari jenama John Deere ini perlu berusaha keras bagi mencapai kelajuan maksima 40km/j bagi mengejar saspek penjenayah dimana pihak polis kata kebanyakan penjenayah menggunakan traktor. Tapi tugas utama traktor ini ialah ketika bencana alam, banjir dan memusnahkan ladang durian musang king haram

8. Toyota Land Cruiser – bukan pakai tayar, tapi pakai trek yang sama seperti digunakan oleh kereta perisai dan juga kereta kebal. Kereta polis ini digunakan oleh polis Switzertland di kawsan bersalji dan bergunung dimana penggunaan trek ini memudahkan pergerakan anggota polis di kawasan bersalji