
TEMPAHAN PORSCHE CAYENNE 2026 KINI DIBUKA – HARGA MULA RM609K
Porsche Malaysia, menerusi Sime Darby Auto Performance, mengemas kini model pemasangan tempatan Porsche Cayenne bagi tahun model 2026.
Antara perubahan utama ialah penggunaan rim 21-inci RS Spyder sebagai kelengkapan standard. Sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan, rim lebih besar ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran visual, malah menyumbang kepada karakter pemanduan lebih sporty.
Ia melengkapkan rekaan luaran Cayenne yang menampilkan bonet berotot, bahagian hadapan lebih lebar serta lampu utama Matrix LED yang menjadi tanda pengenalan model tersebut.
Kelengkapan standard turut merangkumi Adaptive Cruise Control, Sport Chrono Package, sistem audio BOSE Surround Sound dan pintu soft-close, dengan spesifikasi ini dipilih khusus untuk meningkatkan keselesaan serta kemudahan penggunaan harian bagi pelanggan tempatan.

Bagi 2026, Porsche Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Arctic Grey yang akan ditawarkan bermula Julai.
Kemasan ini sebelum ini digunakan pada 718 Cayman GT4 RS dan kemudiannya pada 911, kini ditawarkan untuk Cayenne bagi menyerlahkan karakter lebih sporty.
Selain itu, model pemasangan tempatan ini juga tersedia dalam pilihan;
- Carrara White Metallic
- Chromite Black Metallic
- Quarzite Grey Metallic
Dari sudut digital, Cayenne kini dilengkapi perkhidmatan Porsche Connect dengan tempoh ketersambungan sehingga 10 tahun.
Fungsi ini membolehkan integrasi lebih lancar antara kenderaan dan pemandu, termasuk navigasi, maklumat masa nyata serta akses kepada fungsi tertentu melalui aplikasi mudah alih, sekali gus meningkatkan kemudahan penggunaan harian.

Di bawah hud, Cayenne terus dikuasakan enjin V6 turbo 3.0 liter yang menghasilkan 353PS dan 500Nm.
Sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) turut diberikan secara standard, menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian dinamik.
Ruang kabin pula menampilkan susun atur Porsche Driver Experience dengan kluster instrumen digital 12.6-inci dan skrin tengah PCM 12.3-inci.
Dari segi praktikaliti, ruang kargo belakang menawarkan kapasiti sehingga 772 liter, dan boleh diperluas kepada 1,708 liter apabila tempat duduk belakang lipat 40:20:40 direbahkan.
Turut ditawarkan untuk pasaran tempatan ialah Cayenne S E-Hybrid Coupé, yang menggabungkan enjin V6 dengan motor elektrik 130kW.

Sistem hibrid ini menghasilkan kuasa keseluruhan 519PS, memberikan prestasi lebih tinggi sambil mengekalkan kecekapan.
Rekaan bumbung ‘flyline’ ala 911 menekankan profil lebih sporty, dengan rim 21-inci RS Spyder turut dijadikan kelengkapan standard.
Bagi pelanggan yang mahukan penampilan lebih eksklusif, Exclusive ManufakturPackage turut ditawarkan.
Ia menambah elemen seperti lampu belakang LED berwarna gelap dengan jalur lampu, Sport Design Package, cermin sisi warna badan serta perincian luaran hitam berkilat.
Bahagian dalaman pula menerima lampu logo “PORSCHE” pada pintu, perehat tangan konsol tengah dengan Porsche Crest dan kunci kenderaan yang dipadankan dengan warna badan.
Porsche Cayenne 2026 dan Cayenne S E-Hybrid Coupé kini dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan harga bermula daripada RM609,000 bagi Cayenne, manakala Cayenne S E-Hybrid Coupé bermula dari RM739,000.
GALERI:











