Buletin

LANGGAR LAMPU MERAH DAN SEBABKAN KEMATIAN, PEMANDU HILUX BERDEPAN TUDUHAN BUNUH

Seorang pengusaha pasar mini didakwa di Mahkamah Majistret Muar di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam kejadian kemalangan di Jalan Temenggong Ahmad, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Gui Chui, 69, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuraidah Abu Bakar.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Norain Abu Samah, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Bandar, Jalan Temenggong Ahmad, dekat Muar, jam 7.45 pagi Ahad lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi, manakala tertuduh diwakili peguam RK Balakrishnan. Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei depan bagi tarikh sebutan semula kes.

BH kelmarin melaporkan, seorang wanita maut manakala anak perempuannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap di persimpangan Jalan Temenggong.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, Norain meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.

“Anak mangsa, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu Gui dari arah Parit Jawa menghala ke bandar Muar dipandu dengan kelajuan tinggi dan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

“Akibatnya, pikap itu merempuh Perodua Myvi dipandu Norain yang baru bergerak selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau,” katanya. – Berita Harian 

Google ads
Back to top button