Buletin

BARU SEMINGGU BELI, MUSTANG V8 EDISI TERHAD HANCUR LANGGAR TIANG ELEKTRIK

Seorang remaja berusia 20 tahun dari Sydney, Australia membuatkan bapanya hilang kata-kata apabila Ford Mustang yang baru seminggu dibeli merempuh tiang elektrik di kawasan Mount Druitt.

Media tempatan 7 News melaporkan bapanya melarang dia memandu kereta berkenaan kerana lesennya masih dalam tempoh percubaan dan tidak dibenarkan memandu kereta berprestasi tinggi. Malah, kereta itu dirancang untuk digunakan pada majlis perkahwinan kakaknya tidak lama lagi.

Ini bukanlah Mustang biasa-biasa. Jentera yang dicat dengan warna hijau terang bersama jalur hitam itu ialah model R-Spec edisi terhad. Ia dibina oleh Ford Australia dan menerima talaan daripada Herrod Performance.

Kalau diteliti, spesifikasinya sama seperti Mustang Shelby GT500 yang ditawarkan di pasaran Amerika. Jentera tersebut dipasang dengan enjin V8 supercharge bersesaran 5.0 liter yang mampu menghamburkan kuasa mencecah 700hp dan tork 830Nm.  

Produksi Mustang R-Spec dihadkan kepada hanya 500 unit dan dilengkapi transmisi manual enam kelajuan sebagai ciri standard. Ia ditawarkan pada harga AU$99,980 (RM315,000) di pasaran Australia.

Imej yang dirakam di lokasi kejadian menunjukkan kereta muscle itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan. Fascia hadapan remuk sepenuhnya dan beg udara turut diaktifkan.

Walaupun tidak mengalami kecederaan serius, remaja berkenaan akan dikenakan dakwaan memandu secara cuai. Lebih malang lagi, memandangkan ia dipandu oleh individu yang tidak mempunyai lesen sah, insurans kereta berkenaan terbatal begitu sahaja.

Google ads
Back to top button