Buletin

LEAPMOTOR D99, DARI RM 148K SAJA. MEWAH TAPI HARGA ALPHARD SECOND

Kalau sebelum ini Leapmotor lebih dikenali menerusi model seperti C10 dan B10, kini pengeluar kenderaan elektrik dari China itu tampil dengan sesuatu yang lebih besar dan lebih premium. Dikenali sebagai Leapmotor D99, ia merupakan MPV pertama syarikat itu dan dibangunkan untuk mencabar segmen MPV mewah elektrik seperti Denza D9, Xpeng X9, Zeekr 009 dan Li Auto Mega.

Apa yang paling mencuri perhatian sudah tentu harganya kerana di China D99 ditawarkan pada harga antara 249,800 yuan hingga 319,800 yuan, atau sekitar RM148,000 hingga RM189,000 mengikut kadar pertukaran semasa. Penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada 20 Julai 2026.

Dari segi saiz, D99 mempunyai panjang 5,280 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,880 mm serta jarak roda 3,110 mm, menjadikannya lebih besar daripada Toyota Alphard. Kabinnya menggunakan susun atur 2+2+3, dengan dua kerusi kapten pada barisan kedua yang menjadi fokus utama model ini.

Leapmotor turut menawarkan dua pilihan trenkuasa samaada versi EREV (Extended Range Electric Vehicle) menggunakan enjin 1.5 liter turbo sebagai penjana elektrik, dipadankan dengan bateri berkapasiti 80.3 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 352 km mengikut kitaran WLTC atau EV.

Bagi mereka yang mahukan EV sepenuhnya, Leapmotor menyediakan versi BEV berasaskan seni bina 1,000V bersama bateri CATL 115 kWh, dengan jarak pemanduan sehingga 700 km mengikut piawaian CLTC.

Selain menawarkan jarak pemanduan yang panjang, D99 turut dilengkapi teknologi casis yang biasanya hanya ditemui pada model lebih mahal. Antaranya ialah sistem suspensi udara dwi-ruang bersama penyerap hentak adaptif CDC yang mampu melaras tahap keselesaan secara automatik berdasarkan keadaan permukaan jalan.

Dari sudut keselamatan dan bantuan pemanduan, Leapmotor D99 menggunakan dua cip Qualcomm Snapdragon 8797 dengan kuasa pemprosesan gabungan sehingga 1,280 TOPS, selain dilengkapi sensor LiDAR pada bahagian bumbung.

Sistem bantuan pemandu ini menyokong pelbagai fungsi termasuk penukaran lorong melalui arahan suara, brek kecemasan automatik serta sistem mengelak halangan secara automatik pada kelajuan tertentu.

Ruang kabin D99 lebih menyerupai sebuah lounge bergerak. Pemandu diberikan paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci, manakala skrin infotainmen utama berukuran 17.3 inci dipadankan dengan paparan AR Head-Up Display 50 inci.

Penumpang belakang pula menikmati skrin hiburan 21.4 inci beresolusi 3K, sistem audio 23 pembesar suara Dolby Atmos dengan output sehingga 2,304 watt, selain pembantu suara AI yang boleh digunakan oleh semua penumpang.

Barisan kedua pula menjadi tarikan utama dengan kerusi kapten jenis zero-gravity yang lengkap dengan fungsi urutan, pengudaraan, pemanas serta meja lipat. Kerusi ini juga boleh dipusing sehingga 180 darjah, membolehkan penumpang bersemuka dengan barisan ketiga.

Leapmotor D99 juga datang dengan pelbagai ciri premium lain seperti peti sejuk terbina dalam, kemasan kulit semi-aniline, kabin sepanjang 3.9 meter serta ruang simpanan yang mencecah 706 liter, dan boleh diperluaskan sehingga 2,890 liter apabila tempat duduk barisan ketiga dilipat.

Jika diperlukan, tempat duduk belakang boleh dilipat untuk menghasilkan ruang rata sepanjang hampir 2.5 meter, sesuai untuk berehat ketika perjalanan jauh. Buat masa ini, Leapmotor D99 hanya diperkenalkan untuk pasaran China dan masih belum ada pengumuman mengenai versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Google ads
Back to top button