
LELAKI TABUR PAKU TIADA KAITAN DENGAN GENG TUNDA KERETA. JADI PSIKO SEBAB DADAH
Polis menafikan pelaku yang menabur paku di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumjut dekat Pusing, Ipoh baru-baru ini, mempunyai kaitan dengan aktiviti menunda kenderaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebaliknya perbuatan khianat yang dilakukan suspek berusia 45 tahun itu kerana di bawah pengaruh dadah.
“Motif pelaku hanya kerana dia di bawah pengaruh dadah susulan hasil ujian air kencing mendapati dia positif.
“Dia bukan seorang mekanik, bukan juga bersekongkol dengan ‘geng’ tarik kereta. Dia seperti (kelihatan) ‘psiko’ sedikit kerana pengaruh narkotik,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Katanya, penahanan suspek bererti kes itu sudah selesai. Kelmarin, media melaporkan penahanan suspek di Changkat Larang, Lahat, di sini, kira-kira jam 3 pagi dan direman empat hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif dilapor berkata, pihaknya menjejaki suspek selepas mengesan video tular berdurasi 24 saat.
Beliau mengesahkan turut menerima laporan polis berhubung kejadian daripada pengguna jalan raya yang mengalami tayar bocor selepas melalui kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, sebanyak RM1.83 juta berjaya dipungut polis Perak sepanjang 12 hari pelaksanaan kaunter diskaun saman trafik sempena Sambutan Hari Polis ke-216 bermula 20 Mac hingga 31 Mac lalu.
Menurutnya, nilai kutipan itu meletakkan Polis Perak berada di tempat kedua tertinggi berbanding kontinjen lain.
“Bagi peringkat daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mencatatkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM391,090; diikuti oleh IPD Manjung (RM213,310) dan IPD Taiping (RM199,190),” katanya. – Harian Metro