Buletin

TOYOTA YARIS CROSS RASMI DILANCARKAN – ICE DAN HEV, HARGA MULA RM99K

UMW Toyota Motor rasmi melancarkan Toyota Yaris Cross untuk pasaran Malaysia, sekali gus menambah pilihan dalam segmen SUV kompak dengan penawaran varian petrol dan hibrid.

Model baharu ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Bukit Raja, Selangor, dengan harga bermula RM99,000 bagi varian 1.5S petrol, manakala versi Hybrid pula dijual pada harga RM109,900.

Bagi varian petrol, Yaris Cross menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder 2NR-VE bersama transmisi CVT, menghasilkan 106PS dan 138Nm tork.

Sementara itu, versi hibrid dipadankan dengan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang menggabungkan enjin 1.5 liter bersama motor elektrik.

Enjin tersebut menghasilkan 91PS dan 121Nm, manakala motor elektrik menyumbang 80PS dan 141Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 111PS.

Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk Yaris Cross Hybrid mampu mencapai antara 27.8 km/l hingga 33.3 km/l berdasarkan ujian dalaman.

Sistem hibrid yang digunakan juga adalah jenis self-charging, bermakna pengguna tidak perlu mengecas menggunakan plug atau bergantung kepada stesen pengecas awam.

Dari segi praktikaliti, SUV ini menawarkan ruang but sehingga 471 liter, lebih besar berbanding Corolla Cross yang mempunyai kapasiti 440 liter.

Apabila tempat duduk belakang dilipat, ruang kargo menjadi lebih panjang untuk membawa barangan bersaiz besar. Pintu tailgate berkuasa elektrik dengan fungsi kick sensor turut diberikan sebagai ciri standard.

Yaris Cross dibangunkan dengan imej SUV yang lebih lasak menerusi jarak kelegaan tanah setinggi 210mm serta kemampuan meredah air sehingga 600mm. Ia juga mempunyai radius pusingan hanya 5.2 meter bagi memudahkan pemanduan di kawasan bandar dan parkir sempit.

Suspensi menggunakan tetapan MacPherson Strut di hadapan dan torsion beam di belakang, manakala sistem brek terdiri daripada cakera ventilasi di depan dan cakera solid di belakang.

Rekaan luar tampil lebih tegap berbanding Yaris hatchback biasa dengan gril trapezoid berkembar, garisan badan lebih tajam, fender lebar serta rim aloi 18-inci. Lampu belakang direka memanjang ke sisi bagi memberikan imej lebih lebar dan moden.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu;

  • Spicy Scarlet SE
  • Dark Turquoise SE
  • Platinum Pearl White
  • Silver Metallic
  • Attitude Black

Ruang kabin pula dilengkapi stereng balut kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan hala, paparan meter digital TFT tujuh inci, pencahayaan ambien empat tahap serta sistem infotainmen skrin sentuh 10.1-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian menerusi pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-perlanggaran, kawalan jelajah adaptif penuh, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan kawalan salah tekan pedal.

Turut disediakan ialah Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Panoramic View Monitor serta Clearance Sonar. Enam beg udara, ABS, EBD dan ISOFIX juga menjadi ciri standard.

Toyota menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan untuk Yaris Cross. Bagi model Hybrid, bateri hibrid dilindungi selama lapan tahun dengan pilihan lanjutan sehingga 10 tahun. Jaminan tersebut turut meliputi inverter dan unit kawalan sistem hibrid.

GALERI:

Yaris Cross HEV:

Yaris Cross ICE:

Google ads
Back to top button