
DARI AE86 HINGGA SKYLINE, LEBIH 5,000 PENGUNJUNG BANJIRI JDM NIGHT SHIFT VOL.3 X DARUL AMAN RETRO
Sungai Petani sekali lagi menjadi perhatian peminat automotif apabila lebih 200 kereta JDM berhimpun dalam program JDM NIGHT SHIFT Vol.3 X Darul Aman Retro yang berlangsung di Dataran Jam Besar baru-baru ini.
Acara yang berlangsung dari jam 6 petang hingga tengah malam itu menarik ribuan pengunjung dari seluruh wilayah utara, sekali gus mencipta suasana luar biasa di pusat bandar Sungai Petani.
Buat pertama kali, kawasan ikonik Dataran Jam Besar ditutup khas bagi membolehkan susunan kereta JDM dilakukan secara lebih teratur dan selamat.
Program anjuran Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah itu dianggarkan menerima lebih 5,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung, menjadikannya antara himpunan JDM terbesar pernah diadakan di utara tanah air.

Pelbagai model ikonik dari Jepun dipamerkan termasuk Mitsubishi Evolution, Honda Civic Type R, Subaru Impreza, Nissan Skyline, Mazda RX-7, Toyota AE86 Black Limited, GT86 serta GR Yaris.
Kehadiran model klasik dan moden daripada komuniti automotif seluruh negara turut menambahkan kemeriahan acara.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan beberapa pihak termasuk Pejabat Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Petronas dan Lucas yang melihat acara seumpama ini sebagai platform positif untuk memperkenalkan Sungai Petani sebagai destinasi pelancongan automotif baharu di utara Semenanjung.
Selain menghimpunkan komuniti peminat kereta, program tersebut turut bertujuan menghidupkan kembali kawasan bandar lama menerusi aktiviti komuniti, menarik kehadiran pelancong luar serta membantu menjana ekonomi setempat melalui sektor makanan, penginapan dan perniagaan kecil.

Sepanjang acara berlangsung, peserta turut menunjukkan disiplin yang baik dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
Tiada aktiviti berbahaya seperti drifting, revving melampau atau aksi yang mengganggu ketenteraman awam dilaporkan berlaku.
Pendekatan itu secara tidak langsung membuktikan budaya automotif boleh diketengahkan dalam suasana lebih matang, profesional dan mesra keluarga.
Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan busking, sesi fotografi dan aktiviti komuniti automotif, selain kolaborasi khas bersama Darul Aman Retro menerusi tema “Nostalgia Kedah Tua”.
Turut hadir memeriahkan program ialah personaliti automotif terkenal Abang Japar dan Qaqal Jeffry yang berjaya menarik perhatian pengunjung dari pelbagai negeri.
Menurut pihak penganjur, JDM NIGHT SHIFT kini menjadi acara tahunan dan edisi tahun ini merupakan penganjuran kali ketiga.
Susulan sambutan memberangsangkan diterima, pihak penganjur bercadang memperluaskan acara ke beberapa wilayah lain termasuk Pantai Timur, Selatan dan Lembah Klang pada masa akan datang.
GALERI:
























