Buletin

LENGKAP DUA DOS VAKSIN. BOLEH RENTAS DAERAH, DINE-IN, SOLAT BERJEMAAH BERMULA SELASA – PM

Individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan menetap di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah bermula Selasa ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata individu yang ingin melakukan perjalanan itu mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 kepada petugas keselamatan di sekatan jalan yang menunjukkan mereka sudah menerima vaksinasi lengkap.

Bukan itu sahaja, mereka juga dibenarkan untuk solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran. 

Kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya. Kebenaran rentas daerah dan negeri yang terpakai kepada semua fasa PPN melibatkan pasangan jarak jauh dan ibu bapa untuk bertemu anak.

“Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

“Ibu bapa yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas mengenai Kemudahan-Kemudahan Bagi Individu Yang Menerima Vaksinasi Lengkap secara langsung di rangkaian televisyen tempatan pada Ahad.

Muhyiddn berkata, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap membabitkan semua fasa dalam PPN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jemaah perlu menunjukkan sijil vaksinasi lengkap kepada petugas masjid dan surau selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sehingga jemaah pulang.

“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah ibadat. Pelaksanaan tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat selain Islam,” katanya.

Bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia dan pulang atau tiba dari luar negara serta mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Muhyiddin berkata, kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam fasa dua dan seterusnya pula merangkumi kebenaran rentas daerah, ‘dine-in’, aktiviti sukan dan kebenaran melancong dalam negeri sama.

“Aktiviti dine-in juga dibenarkan. Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain ia sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk ‘dine-in’ apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membungkus makanan jika situasi mengizinkan kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan berbual dengan teman semeja yang mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan Covid-19.

“Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka. Saya juga ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk ‘dine-in’ menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19,” katanya.

Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk ‘dine-in’ di kedai makan pula, Muhyiddin mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mematuhi SOP yang ketat.

Dalam pada itu, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan  dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

Namun, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis kelab berkenaan tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Aktiviti yang dibenarkan seperti joging, senaman, taici, berbasikal, papan selaju, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis badminton, golf, permotoran dan seumpamanya.

Muhyiddin turut memberitah, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan inap desa dan hotel. Pengusaha inap desa dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

“Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang diumumkan itu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan sektor ekonomi pula sedang dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan diumumkan dalam waktu terdekat. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button