Motosikal

2 ANGGOTA POLIS MAUT AKIBAT BERTEMBUNG KETIKA KEJAR SUSPEK LUMBA HARAM

Dua anggota polis maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang menghala ke Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36 dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, kedua-duanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Arifah, yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), menunggang Yamaha 115Z, manakala Mohd Muradzi, yang bertugas di Cawangan Jenayah (D4) menunggang Yamaha RXZ ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata ketika kejadian, mereka menyertai Operasi Samseng Jalanan BSPT IPD Kajang di laluan terbabit yang sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa mengejar suspek lumba haram dalam operasi itu. Ketika sedang mengejar, mangsa yang menunggang Yamaha 115Z dari arah Kajang bertembung dengan motosikal rakannya,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Mohd Zaid, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kemalangan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Berita Harian

Google ads
Back to top button