Buletin

LEPAS MULAKAN LANGKAH DI MALAYSIA DENGAN MISI KOMUNITI

Menjelang pelancaran rasminya di Malaysia, jenama mobiliti baharu, LEPAS, mula memperlihatkan hala tuju strategik yang berteraskan nilai dengan menggabungkan elemen budaya, penglibatan komuniti serta kekuatan kejuruteraan global.

Sebagai antara langkah awal di negara ini, LEPAS Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pereka fesyen tempatan bertaraf antarabangsa, Karl Ho, bagi menghasilkan baju raya khas untuk kanak-kanak daripada beberapa rumah kebajikan termasuk Pertubuhan Baitul Asnaf Sendayan, Yayasan Kasih Sayang Kuala Pilah dan Pusat Jagaan Anak Yatim Kausar Senawang.

Inisiatif tersebut mencerminkan falsafah LEPAS bahawa mobiliti bukan sekadar pergerakan fizikal, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin kemajuan dan kesejahteraan komuniti.

Menurut Pengarah Jenama Kanan LEPAS Malaysia, Sarah Choo, pendekatan awal jenama itu di Malaysia mencerminkan nilai yang ingin dibawa.

Katanya, LEPAS bukan sekadar memperkenalkan jenama automotif, tetapi berhasrat membina identiti yang menzahirkan semangat rakyat Malaysia yang saling menyokong antara satu sama lain.

Sementara itu, Karl Ho menyifatkan kolaborasi berkenaan sebagai usaha memperkukuh peranan rekaan dalam menyuntik keyakinan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau menekankan bahawa sentuhan rekaan yang dihasilkan khas mampu memupuk rasa bangga serta meningkatkan kepercayaan diri kanak-kanak terhadap potensi mereka.

Dari sudut produk, LEPAS bakal memasuki pasaran tempatan dengan barisan SUV merangkumi model L4, L6 dan L8 yang dibangunkan berasaskan platform kenderaan tenaga baharu (NEV) global terkini oleh Chery Group.

Platform ini menyokong pelbagai jenis rangkaian kuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Mengangkat konsep reka bentuk “Leopard Aesthetics”, ruang dalaman “Exquisite Space” serta pengalaman pemanduan “Elegant Driving”, LEPAS menyasarkan untuk menjadikan elemen keanggunan sebagai identiti sejagat, seiring slogan “Drive Your Elegance”.

Di peringkat global, jenama itu kini giat memperluas kehadirannya ke pasaran Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara.

Malaysia pula menjadi antara pasaran awal pemanduan sebelah kanan dalam pelan pengembangan serantau LEPAS.

Google ads
Back to top button