Buletin

LEXUS LM300H DILANCARKAN- DEFINISI MPV MEWAH SEBENAR…

Seperti beberapa teaser yang tersebar sejak beberapa minggu lalu, hari ini, Lexus telah melancarkan flagship MPV mereka bersempena dengan pembukaan Shanghai Motoshow.

Tidak salah, ia memang sebuah MPV yang diasaskan dari Toyota Alphard/Vellfire AGH30/GGH35 generasi baru yang memang sedia popular di Jepun dan benua Asia.

Ia ditawarkan dalam dua konfigurasi kerusi, samada empat atau tujuh penumpang.

Varian empat tempat duduk merupakan kembar bagi siri Royal Lounge dari Vellfire/Alphard yang merupakan model paling tinggi dengan harga pasaran recond di Malaysia pun mencecah RM700K

Varian ini dilengkapi dengan sepasang kerusi pilot lebih lebar di belakang dengan segala ciri kemewahan yang boleh dibuat pada sebuah kenderaan MPV.

Namakan sahaja, skrin 26 inci, peti sejuk mini, kerusi dengan pemanas, penyejuk dan pengurut, ottoman, lampu membaca boleh laras serta kemasan aluminium brush yang mewah.

Ia juga dikemaskan dengan jam analog, skrin pemisah antara pemandu dan penumpang belakang, storan payung macam Rolls Royce.

Varian ini disasarkan kepada VIP, ahli perniagaan yang mahukan kemewahan dan privasi serta ruang sendiri.

Satu lagi varian ialah versi tujuh kerusi yang sama seperti Executive Lounge bagi versi Vellfire/Alphard.

Besar kemungkinan, Toyota akan menghentikan varian Royal Lounge dan Executive Lounge pada Toyota dan pembeli akan ditawarkan menerusi jenama Lexus ini.

Jadi ia adalah Lexus yang menyalin sebuah Toyota?

Tidak sepenuhnya.

MPV Lexus ini menggunakan suspensi berbeza. Ia dipadankan dengan penyeraphentak injap bersilang (swing-valve shock absorbers). Ia merupakan suspensi topang bebas yang bergerak secara mekanikal – Ya, Toyota tetap sebuah Toyota, mereka tak gunakan suspensi airmatic yang selesa tapi penyelenggaraannya mahal macam iblis.

Suspensi ini memastikan setiap permukaan jalan diserap sepenuhnya, sama seperti sedan Lexus ES.

Bergantung kepada pasaran, ia akan ditawarkan dengan enjin 3.5 liter V6 atau 2.5 liter hybrid dan akan ditawarkan jualan di China dan negara Asia lain pada hujung tahun ini.

Berapakah harganya?

Semakan hari ini di laman web jualbeli sebuah Vellfire Royal Lounge TAHUN 2015 ialah sekitar RM700K. Itu untuk unit recond terpakai yang dah berusia EMPAT tahun.

Model recond 2018 mungkin sekitar RM800 – RM900K.

Dan ini pula sebuah Lexus. Tahukah anda Lexus memang lebih mahal dari BMW, Mercedes dan Audi?

Ya.

Kalau masuk Malaysia. Kami percaya harganya mungkin mencapai RM1 JUTA!

Google ads
Back to top button