Buletin

JUALAN MENINGKAT, TETAPI PENGELUAR EV CHINA MASIH RUGI BESAR

Melihat kepada jumlah penghantaran yang dilakukan oleh peneraju pengeluar EV dari China seperti Xpeng, Li Auto dan Nio, sangat mustahil untuk mengatakan mereka mengalami kerugian.

Xpeng, Li Auto, dan Nio telah mengembangkan pasaran masing-masing bukan sahaja di China, tetapi ke seluruh dunia. Malah, penghantaran Xpeng melonjak 98 peratus kepada 34,422 unit pada suku kedua. Manakala jualan Li Auto meningkat sebanyak 63 peratus kepada 28,687 dan Nio meningkat 14 peratus kepada 25,059 unit.

Angka kewangan yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga syarikat itu mendedahkan bahawa kerugian bersih Xpeng melonjak 126 peratus kepada AS$376 juta (RM1.7 bilion) pada suku kedua. Sementara kerugian Nio meningkat sebanyak 370 peratus kepada AS$393 juta (RM1.8 bilion). Begitu juga dengan kerugian bersih Li Auto yang mencecah AS$90 juta (RM418 juta), meningkat sebanyak 172 peratus.

Nasib sama turut dialami oleh Changan Automobile Co. dan GAC Motor Co. Changan Automobile melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$210 juta (RM975 juta) pada separuh pertama tahun ini. Sub-bahagian EV, Avatr juga melaporkan kerugian sebanyak AS$35 juta (RM162 juta).

Bagi GAC dan jenama Aion, kerugian bersih tahunan menghampiri AS$196 juta (RM910 juta), walaupun jualan semakin meningkat.

Berbeza pula dengan BYD, pengeluar kereta yang disokong oleh Warren Buffett. Pengeluar kenderaan elektrik terbesar China itu menjual 641,350 kenderaan pada separuh pertama tahun ini.

BYD merupakan pengeluar bateri EV kedua terbesar di China dan keuntungannya baru-baru ini melonjak 206 peratus kepada AS$505 juta (RM2.3 bilion) dalam enam bulan pertama tahun ini.

Google ads
Back to top button