
4 KENDERAAN SESUAI GANTI TRAK PIKAP UNTUK IKS. PAKAI PENTROL JE…
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, landskap kenderaan komersial untuk PKS dan IKS di Malaysia mula berubah dengan ketara. Jika satu ketika dahulu trak pikap diesel seperti Hilux, D-Max atau Triton menjadi pilihan utama kerana ketahanan dan keupayaan mengangkut beban berat, hari ini ramai pengusaha kecil mula mencari alternatif.
Faktor utama perubahan ini ialah kos diesel yang semakin meningkat serta pendekatan subsidi yang lebih terhad. Ketika artikel ini ditulis, harga diesel meningkat kepada RM 6.02 seliter. Dalam keadaan ini, kenderaan petrol yang boleh menggunakan RON95 menjadi pilihan lebih praktikal, walaupun ia datang dengan kompromi tertentu dari segi keupayaan kerja.
Apa yang menarik ialah alternatif kepada trak pikap diesel di Malaysia bukanlah satu kategori kenderaan yang jelas. Sebaliknya, ia terbahagi kepada beberapa jenis yang terdiri daripada van lama yang terbukti lasak, kepada van moden yang lebih selesa, hinggalah MPV yang diubah fungsi menjadi kenderaan kerja.
Kami senarai pendek empat model yang paling relevan dalam konteks ini ialah lori satu tan Nissan Vanette, Daihatsu Gran Max (bersama versi rebadge Toyota LiteAce), Nissan NV200, dan Toyota Avanza generasi lama.

1. Nissan Vanette – merupakan antara contoh paling klasik dan masih relevan hingga hari ini. Dengan reka bentuk “kepala lori” atau semi-bonnet, enjin diletakkan di bahagian hadapan seperti lori kecil, memberikan rasa pemanduan yang lebih stabil ketika membawa muatan.
Van ini terkenal dengan ketahanan mekanikal yang tinggi serta reka bentuk yang ringkas, menjadikannya mudah diselenggara walaupun usianya sudah menjangkau beberapa dekad. Ia banyak digunakan dalam sektor pasar malam, pembinaan kecil dan logistik tempatan.
Walaupun dari segi keselamatan dan keselesaan ia jauh ketinggalan, Vanette tetap menjadi pilihan kerana satu perkara kerana ia mampu bekerja tanpa banyak kerenah. Dengan hanya menggunakan enjin 1500cc 4 silinder petrol OHV yang hanya menjana sekitar 70-80hp dan 110Nm tork.

2. Daihatsu Gran Max dan Toyota LiteAce – Kedua-dua model menawarkan enjin petrol, struktur badan berbentuk kotak untuk memaksimumkan ruang kargo, serta kos operasi yang rendah. Model ini boleh dianggap sebagai pengganti paling hampir kepada trak pikap diesel dari segi fungsi, walaupun ia hadir dalam bentuk van.
Ia mungkin tidak menawarkan keselesaan atau teknologi terkini, tetapi kelebihannya terletak pada sifatnya yang tahan lasak, ringkas dan sesuai untuk penggunaan harian yang intensif. Bagi banyak perniagaan kecil, inilah kompromi paling masuk akal antara kos dan keupayaan.
Ia dikuasakan dengan enjin 2NR-VE aluminium 1500cc dengan pemasaan injap dual DVVT-i. Namun kuasa enjin diturunkan kepada 97hp dan 134Nm tork

3. Nissan NV200 – mewakili generasi baharu kenderaan komersial yang lebih moden. Tidak seperti Gran Max, NV200 dibangunkan berasaskan platform kereta penumpang, menjadikannya lebih selesa untuk dipandu dan lebih sesuai untuk kegunaan bandar.
Dengan pintu gelangsar dan ruang kargo yang praktikal, ia sering digunakan untuk perkhidmatan penghantaran dan operasi logistik berskala kecil hingga sederhana. Enjin petrol 1.6 liter yang digunakan juga membantu mengawal kos bahan api. Namun begitu, sistem suspensi yang ditala lembut ini bermakna NV200 tidak direka untuk kerja berat yang berterusan
Nissan NV200 dikuasakan dengan enjin petrol HR16DE 1600cc 4 silinder pemasaan injap CVTC untuk kecekapan bahan api. Ia hanya menjana 109hp dan 152Nm tork, sesuai untuk dijadikan van mengangkut barangan.

4. Toyota Avanza – secara teknikalnya bukan kenderaan komersial. Namun dalam dunia sebenar, ia sering digunakan sebagai kenderaan kerja oleh IKS. Dengan konfigurasi pacuan roda belakang dan enjin yang ringkas, Avanza menawarkan ketahanan yang mencukupi untuk membawa muatan sederhana.
Tempat duduk belakang yang boleh dilipat membuka ruang kargo yang praktikal, menjadikannya pilihan fleksibel untuk mereka yang memerlukan satu kenderaan untuk kegunaan kerja dan keluarga. Kos penyelenggaraan yang rendah serta kebolehpercayaan jenama Toyota menjadikannya antara pilihan paling popular dalam kategori bajet.
Perubahan daripada trak pikap diesel kepada alternatif petrol bukan sekadar pertukaran kenderaan, tetapi perubahan pendekatan secara keseluruhan. Tiada satu model yang benar-benar menggantikan peranan pickup secara menyeluruh namun demi memenuhi tuntutan mengurangkan kos operasi, kenderaan seperti di atas amat sesuai digunakan

