Artikel Pilihan

M282, ENJIN 4 SILINDER 1332CC DARIPADA MERCEDES BENZ

Enjin ini sebenarnua sudah lama digunakan, diperkenalkan pada tahun 2018 dan pertama kali digunakan pada kereta kompak Mercedes iaitu A200. Enjin M282 dengan sesaran 1332cc ini merupakan enjin turbo dengan suntikan bahan api terus dihasilkan dengan kerjasama Daimler dan juga pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Ia merupakan enjin pilihan Mercedes untuk digunakan pada model A Class, B Class, CLA, GLA dan juga GLB. Namun jika dikaji dengan lebih mendalam, enjin ini boleh dikesan kepada enjin 1.3 TCe H5Ht (TCe115, TCe 140, TCe, 150 dan TCe 160) yang digunakan oleh Renault dan HR13DDT yang digunakan oleh Nissan

Jika dibandingkan dengan enijin 1600cc M270 keluaran Mercedes dahulu, enjin ini 11% lebih berkuasa dan 20kg lebih ringan. Malah ia lebih tegar dan lebih kompak jika dibandingkan dengan enjin M270. Sistem turbo pula menggunakan wastegate kawalan elektronik yang boleh merubah tekanan berdasarkan partial load atau full load.

Malah ia merupakan enjin pertama 4 silinder Mercedes yang menampilkan sistem nyahaktif silinder pada silinder 2 dan 3 dengan bantuan sistem transmisi DCT. Ketika 1250-3800 RPM dengan partial load, injap kemasukan dan injap ekzos silinder ke 2 dan ke 3 akan ditutup sepenuhnya. Tapi ia akan beroperasi semula serta merta jika kuasa maksimum diperlukan

Blok enjin ini direka oleh Renault dengan menggunakan blok aluminium serta sistem pengaliran cecair penyejuk open deck. Bagi meminimakan geseran, silinder di bahagian dalam disalut dengan NANOSLIDE dan piston disalut dengan ECO-Tough Coating iaitu lapisan grafit.

Selain lebih kurang geseran, ia lebih mudah mengalirkan haba dan ringan. Untuk menahan kuasa enjin, aci engkol dan rod penyambung dihasilkan dengan kaedah tempaan. Minyak enjin akan disembur terus di bawah permukaan piston bagi mengelakkan masalah knocking

Pam minyak enjin pula menggunakan kaedah sesaran boleh ubah, yang beroperasi mengikut keperluan laju enjin. Kepala silinder adalah rekaan unik Delta Design daripada Mercedes dengan 16 injap, lebih tinggi daripada enjin Renault tapi lebih kurus dan ringan.

Injap kemasukan dan injap ekzos pula diberikan sistem VVT (cam phasing) dengan pacuan timing chain. Sistem suntikan bahan api terus pula dibekalkan dengan pam bahan api setinggi 250 bar dalam fuel common rail. Petrol akan sampai dalam silinder melalui nozzle 6 lubang bagi pembakaran yang sekata

Tapi kunci utama dalam teknologi M282 ialah sistem turbo dengan manifold ekzos dan turbo dihasilkan dalam satu unit melalui kaedah casting. Udara yang dimampatkan akan disejukkan dengan menggunakan intercooler sejukan udara sebelum dihantar ke enjin untuk dibakar.

Bagi mengurangkan pencemaran, enjin ini dipasang penapis jelaga, Helmholtz resonator untuk mengurangkan bunyi dan catalytic converter yang lebih baik. Bagi varian paling berkuasa, enjin ini menjana 163 kuasa kuda dan 250Nm tork seawal 1600 RPM

Bagi penggunaan bahan api, ia boleh memberikan bacaan purata sekitar 16.949km bagi setiap liter petrol bila diuji dengan menggunakan Mercede Benz GLB jika dipandu dengan berhemah

Google ads
Back to top button