
UK MULAKAN PROJEK BURU EKZOS BISING DENGAN KAMERA CANGGIH – HABIS LA GENG WAISUKU KALAU LANGKAH SAMA DILAKSANAKAN JPJ/PDRM
United Kingdom ataupun UK merupakan negara terbaru yang menggunakan “kamera bunyi” untuk mengesan dan menjejaki kenderaan dengan ekzos ubah suai sehingga menghasilkan bunyi yang terlalu bising.
Projek ini dimulakan di Bradford, utara England sebelum diperkenalkan di tiga kawasan lagi – Birmingham, Bristol dan Great Yarmouth dalam masa dua bulan lagi. Keempat kawasan ini akan dijadikan medan ujian untuk menguji keberkesanan teknologi baru ini dan jika berjaya, lebih banyak bandar di UK akan dilengkapkan dengan teknologi yang sama.
Sistem ini sudah pun diguna pakai di beberapa bandar di Perancis dan New York. Malah California juga sedang menguji sistem yang serupa dalam program pilot selama lima tahun.

Teknologi ini berfungsi dengan menggunakan beberapa mikrofon di bahagian bandar yang bermasalah dan akan mengesan pemandu ataupun penunggang yang suka membunyikan ekzos mereka untuk mengganggu ketenteraman awam.
Gambar pesalah akan direkod kamera yang bersambung dengan mikrofon tadi dan saman akan dikeluarkan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
Kerajaan UK bertekad untuk memerangi masalah ekzos bising dan pemandu yang suka membuat onar dengan membelanjakan sejumlah lebih RM1.5 juta untuk teknologi ini dan ia sedang diuji secara ekstesif di kawasan-kawasan paling bermasalah.

Kamera bunyi ini diharap akan mampu membendung masalah pencemaran bunyi bising dari ekzos kenderaan di sana sekaligus mewujudkan persekitaran dan kejiranan yang lebih selesa dan tenteram di seluruh negara.
Pemandu-pemandu yang memandu mengikut peraturan tidak perlu bimbang kerana kamera ini memang direka khusus untuk memburu sasaran yang tepat. Bukan asal bunyi kuat sikit terus tangkap gambar. Kalau macam tu kesianlah abang-abang yang bawak supercar ataupun kereta berprestasi tinggi kat sana.